Pemulihan sektor pembinaan, RHB Investment unjur pendapatan teras Glostrext meningkat 39% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor pembinaan, RHB Investment unjur pendapatan teras Glostrext meningkat 39% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - RHB Investment menjangkakan pendapatan teras Glostrext Berhad meningkat sebanyak 39% bagi FY24 selaras dengan pemulihan dalam sektor pembinaan selain pengembangan perniagaan di Singapura.

 

Firma itu berkata, perminataan perniagaan di Singapura dijangka hadir daripada permintaan peralatan cerucuk dan ujian beban statik (PISLT) didorong peningkatan kesedaran keselatan dalam kalangan kontraktor. 

 

"Margin keuntungan bersih berulang kumpulan dijangka berada antara 24.4% hingga 25.1% pada FY24-26 dengan mengambil kira pelaksanaan platform WiNA," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul RM20.1 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan RM11.7 juta (58.2%) yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi mengembangkan perniagaan instrumentasi dan pemantauan struktur tanahnya ke Singapura selain meningkatkan modal kerja.

 

BACA JUGA: Glostrext sasar RM20.1 juta daripada IPO Pasaran ACE

 

Firma itu berkata, sejumlah RM1.8 juta akan dikhususkan untuk membiayai inisiatif R&D bagi mempromosikan automasi, seperti mempertingkatkan platform WiNA Glostrext yang boleh mengembangkan lagi margin keuntungan dan memudahkan perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanah (SGM) di luar tapak.

 

Katanya, platform WiNA sedia ada telah berjaya meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pergantungan kepada buruh manual.

 

"Penambahbaikan dalam platform WiNA dijangka membawa kepada pengembangan margin keuntungan dan pertumbuhan pendapatan selanjutnya," katanya.

 

Firma itu memberikan harga wajar (FV) 22 sen kepada kumpulan itu selain berpendapatan mereka akan berdepan beberapa cabaran termasuk permintaan perkhidmatan yang lebih rendah daripada jangkaan serta kelewatan yang tidak dijangka serta kehilangan kakitangan pengurusan utama. - DagangNews.com