Pemulihan sektor teknologi diunjur perlahan pada awal 2024 sebelum melonjak pada separuh kedua tahun ini – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor teknologi diunjur perlahan pada awal 2024 sebelum melonjak pada separuh kedua tahun ini – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor teknologi yang diunjur pulih dalam kadar perlahan pada awal 2024 sebelum melonjak pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 13.1% pada 2024 (daripada penurunan 8.2% dalam tahun lepas), dipacu oleh peningkatan permintaan untuk memori dan litar bersepadu (IC) logik. 

 

“Walaupun jualan semikonduktor global telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ia mengambil masa untuk dinikmati sepenuhnya oleh penggiat tempatan yang kebanyakannya berada di hujung belakang rantaian bekalan. 

 

“Penggiat tempatan menjangkakan suku pertama yang rendah bermusim, diikuti oleh peningkatan sederhana pada suku kedua, sebelum pemulihan yang lebih bermakna pada separuh kedua,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, selain kelembapan bermusim, momentum pemulihan juga perlahan berikutan penutupan kilang yang dijadualkan semasa cuti Tahun Baharu Cina yang panjang, terutamanya di China. 

 

Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa penurunan bermusim pada suku pertama 2024 memberikan potensi peluang untuk pelabur jangka panjang mengukuhkan kedudukan.

 

Syarikat pilihan utama firma itu bagi sektor ini dipilih dari segi pemulihan pendapatan, iaitu Inari Amertron Bhd (outperform; TP: RM4.05), Kelington Group Berhad (outperform; TP: RM3.40) dan PIE Industrial Berhad (outperform; TP: RM4).

 

Kenanga Research berkat, Inari menjadi proksi paling hampir dengan penggunaan 5G dan sangat responsif kepada permintaan pasaran dengan pelancaran teknologi baharu seperti pengacuan dua sisi (DSM) dan sistem pada modul ( SOM).

 

Selain itu, katanya, pengembangan Inari di China memanfaatkan dorongan agresif negara berkuasa besar itu untuk semikonduktor.

 

Sementara itum Kelington menjadi proksi langsung kepada pengembangan fab wafer bahagian hadapan dan keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh kedua-dua buku pesanan teguh RM1.3 bilion dan buku tender lebih RM1.9 bilion.

 

Kumpulan itu juga bertapak kukuh dalam pelbagai pasaran, iaitu Malaysia, Singapura dan China.

 

PIE pula disukai fima berkenaan disebabkan oleh set kemahiran komprehensifnya yang menjadikan kumpulan itu antara penyedia EMS pilihan utama untuk syarikat mutinasional.

 

Ia juga memunyai pelbagai kelebihan daya saing yang dinikmati sebagai unit Foxconn dan pangkalan pelanggannya yang pelbagai dan berkembang terdiri daripada mereka yang terlibat dalam peranti komunikasi, alat kuasa dan peralatan kewangan terdesentralisasi (DeFi) terkini. - DagangNews.com