Pemulihan Top Glove perlu masa lebih panjang berikutan kadar lemah penggunaan kilang | DagangNews Skip to main content

Pemulihan Top Glove perlu masa lebih panjang berikutan kadar lemah penggunaan kilang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - RHB Investment menjangkakan pemulihan Top Glove Corp Bhd memerlukan masa lebih panjang berikutan kadar penggunaan kilang yang lemah serta purata harga jualan (ASP) lebih rendah berbanding pesaingnya.

 

Katanya, ASP campuran industri berada pada AS$20 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan berbanding AS$19 hingga AS$20 sebelum ini (walaupun ASP nitril agak rendah pada AS$17 hingga AS$18 berbanding sarung tangan lateks pada AS$20).

 

Firma penyelidikan itu berkata, menurut semakan mereka, ASP pengeluar sarung tangan China dijangka meningkat antara AS$16 hingga AS$17 berbanding AS$15 hingga AS$16.

 

"Jurang ASP semakin mengecil bermakna persaingan harga yang panjang semakin menghampiri penghujungnya, memberikan peluang kepada pengeluar dari Malaysia untuk bersaing melalui kualiti produk dan bukan harga," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih 2Q Top Glove mengecil kepada RM51.19 juta berikutan jualan lebih kukuh

 

Terdahulu, pendapatan kumpulan itu bagi suku kedua berakhir 29 Februari 2024 turun lebih rendah pada RM550.33 juta berbanding RM618.01 juta tahun sebelumnya.

 

Bagi enam bulan terkumpul, kerugian bersih kumpulan itu mengecil kepada RM108.91 juta daripada RM332.90 juta setahun lalu, manakala hasil susut kepada RM1.04 bilion daripada RM1.25 bilion.

 

RHB Investment berkata, jumlah eksport sarung tangan Malaysia melonjak 6% dari bulan ke bulan (2% dari tahun ke tahun) pada Februari 2024, meneruskan pertumbuhan positif untuk dua bulan berturut-turut.

 

Nilai eksport meningkat 7% dari bulan ke bulan (11% dari tahun ke tahun), dengan pertumbuhan bulanan mengatasi pertumbuhan jumlah eksport.

 

"Sementara itu, eksport sarung tangan dari China menguncup 15% pada Februari berikutan pertumbuhan 4% pada Januari 2024.

 

"Kami mengekalkan pertumbuhan permintaan sarung tangan global 2024 sebanyak 7%, berdasarkan pemulihan aktiviti penyimpanan semula sarung tangan pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham. - DagangNews.com