Pemulihan trafik udara dijangka lebih perlahan - CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Pemulihan trafik udara dijangka lebih perlahan - CGS-CIMB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan pemulihan trafik melibatkan sektor antarabangsa untuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi 2022F berpotensi untuk mencapai kadar 31% berbanding 40% berdasarkan data penumpang pada 2019. 

 

Firma itu berkata, pemulihan melibatkan sektor domestik untuk tahun sama dijangka berada pada paras 85% berdasarkan kepada pangkalan data trafik penumpang 2019 namun secara realistiknya pemulihan akan berlaku pada kadar 75%.

 

Firma itu menganalisis jadual syarikat penerbangan bagi menilai kapasiti tempat duduk bagi 2022F dan melakukan unjuran jangkaan trafik bermula Mei 2022 dan ke hadapan.

 

"Kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan pulih pada kadar yang perlahan berbanding jangkaan kerana pemulihan kekuatan kru kabin memperlahankan rancangan penerbangan kumpulan.

 

"Keadaan itu memberi kesan yang tidak baik kepada jumlah trafik selain tempat duduk yang lebih rendah daripada jangkaan dan muatan tempat duduk bagi 4QFY22 menunjukkan aliran yang lebih rendah berbanding 4QFY19," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sehinga Mei 2022, Asia Barat menunjukkan pemulihan paling pantas disebabkan penerbangan ke Arab Saudi bagi membawa penumpang menjalani ibadah haji diikuti Asia Selatan akibat trafik pekerja asing.

 

Tempat ketiga adalah Eropah Barat diikuti Asia Tenggara di tempat keempat manakala trafik ke Barat Daya Pasifik menunjukkan prestasi yang rendah selain Timur Laut Asia juga menunjukkan prestasi yang rendah akibat sekatan perjalanan ke China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

 

Seandainya Asia Utara membuka sempadannya, ia akan membantu mempercepatkan pemulihan kapasiti syarikat penerbangan atau melonjakkan permintaan perjalanan penumpang setara dengan 2019.

 

"Bagaimanapun antara risiko yang perlu dihadapi daripada polisi sifar COVID-19 China ialah peningkatan kadar inflasi terhadap kuasa membeli dan kadar tambang yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk MAHB dengan harga sasaran RM6.93," katanya. - DagangNews.com