Penampilan sulung Steel Hawk di Pasaran ACE catat 30 sen, naik dua kali ganda | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung Steel Hawk di Pasaran ACE catat 30 sen, naik dua kali ganda

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Saham Steel Hawk Bhd membuat penampilang sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 30 sen, atau 100% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 15 sen seunit.

 

Saham pembekal perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G) dibuka pada 30 sen pada volum dagangan 6.49 juta saham, berbanding harga IPO 15 sen sesaham. 

 

Pada sesi dagangan pagi, saham itu didagangkan pada 35.5 sen, selepas lebih 41.67 juta saham bertukar tangan, memberikannya permodalan pasaran RM178.85 juta.

 

Steel Hawk merupakan syarikat pertama yang menjalani pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE, di bawah rangka kerja pemindahan pasaran baharu.

 

Kumpulan itu menyaksikan permintaan kukuh untuk IPO mereka dengan tawaran terlebih langgan sebanyak 276.83 kali, kadar langganan tertinggi sejak 10 tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Steel Hawk sasar kumpul RM13.5 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

 

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, pemindahan penyenaraian itu adalah kerja keras dan dedikasi  kumpulan dan pihaknya gembira dengan sambutan yang diterima. 

 

Beliau berkata, daripada hasil yang dikumpul, pihaknya akan membina limbungan fabrikasi baharu di Kemaman, Terengganu yang akan membolehkan pihaknya mengurangkan kebergantungan kepada subkontraktor untuk menjalankan kerja fabrikasi sekali gus membawa kepada masa pemulihan yang optimum kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan kami (EPCC), perkhidmatan serta penjimatan kos tambahan.

 

"Bagi memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran teknikal sedia ada, kami berhasrat untuk mengembangkan EPCC dan perkhidmatan penambahbaikan/penyelenggaraan kemudahan kami kepada industri tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya pada infrastruktur tenaga solar dan tenaga hidroelektrik.

 

"Tambahan pula, kami ingin menyediakan perkhidmatan sambungan dan pentauliahan bersepadu (HUC) bagi menghubungkan infrastruktur minyak & gas," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

Sharman berkata, kumpulan itu prospek cerah disokong perbelanjaan modal domestik tahunan Petronas sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap sasaran jangka panjang bagi mengekalkan serta mengembangkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia.

 

Selain itu, beliau berkata, penemuan rizab hidrokarbon baru-baru ini di Lembangan Langkasuka yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia menunjukkan peluang untuk penerokaan dan pembangunan masa hadapan.

 

"Kami akan berusaha untuk memanfaatkan rekod prestasi kami dan kekuatan daya saing untuk meneroka peluang perniagaan baharu melalui pelanggan semasa dan bakal pelanggan," katanya.

 

Steel Hawk memperuntukkan 51% daripada RM13.5 juta hasil daripada terbitan awam untuk membina cadangan Fasiliti Teluk Kalung 2 di Terengganu, di mana ia baru-baru ini memperoleh kontrak perkhidmatan perancah daripada Petronas Chemicals Group Bhd.

 

Syarikat itu juga memperuntukkan 15% daripada hasil sebagai modal kerja dan 7.4% untuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pemindahan penyenaraian.- DagangNews.com