Penarafan BBB+ Fitch Ratings cermin komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal negara - MOF | DagangNews Skip to main content

Penarafan BBB+ Fitch Ratings cermin komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal negara - MOF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pengesahan Fitch Ratings ke atas penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal dan keupayaan negara bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi selain menahan keadaan global yang tidak menentu.

 

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan komited untuk meneruskan penyatuan fiskal dan membina semula penampan fiskal bagi kemampanan jangka panjang.

 

Dalam jangka sederhana, Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6% pada 2022 kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 seperti yang dianggarkan dan seterusnya kepada 4.3% pada 2024.

 

"Pada masa yang sama, Belanjawan 2024 mengekalkan pendirian fiskal mengembang dengan belanjawan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM90 bilion untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan memenuhi keperluan rakyat.

 

"Menerusi rangka kerja Ekonomi Madani, kadar penyatuan fiskal akan dipercepatkan lagi untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sebanyak 3% dan pembaharuan fiskal terus menjadi keutamaan kepada kerajaan.

 

"Ini dicerminkan dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) baru-baru ini yang diluluskan oleh Parlimen bulan lepas," katanya.

 

Sementara itu, Fitch berkata, penilaian Malaysia mengimbangi ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah berbanding dengan perbelanjaan mengurus, dan pertimbangan politik yang mungkin menghalang penggubalan dasar dan pelaksanaan reformasi jangka panjang.

 

Firma itu menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia menjadi sederhana kepada 4% pada 2023 dan 4.2% pada 2024, di tengah-tengah kestabilan politik negara yang bertambah baik. 

 

Fitch juga meramalkan bahawa defisit Kerajaan Persekutuan menyusut kepada 3.5% pada 2025 di tengah-tengah rasionalisasi subsidi dan pelancaran Cukai Minimum Global.

 

Melangkah ke hadapan, kerajaan yakin bahawa inisiatif yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani dan pelaksanaan langkah-langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 akan merangsang pertumbuhan lagi. - DagangNews.com