Penarafan Fitch, bukti daya tahan ekonomi negara tangani cabaran pandemik | DagangNews Skip to main content

Penarafan Fitch, bukti daya tahan ekonomi negara tangani cabaran pandemik

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pengekalan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch Ratings membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh.

 

Keadaan ini juga didorong lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang 2 dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2% KDNK. 

 

Kedudukan itu katanya, turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77% daripada KDNK pada akhir Mac 2021. 

 

"Faktor-faktor ini disokong oleh polisi tukaran asing fleksibel, yang memperkuatkan keupayaan Malaysia berhadapan dengan kejutan luaran. 

 

"Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Fitch Ratings telah mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+, dengan prospek stabil. 

 

Pengekalan penarafan ini diberikan ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, yang mana 101 prospek negatif telah diberikan menjelang akhir tahun lalu.

 

 

Baca : Fitch kekalkan penarafan kredit Malaysia, unjur KDNK berkembang 4.5%

 

 

Sumber : Kementerian Kewangan

​​​​​

 

Dalam menangani krisis pandemik COVID-19, Malaysia mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN), satu strategi yang dinamik, fleksibel dan berpandangan ke hadapan berpandukan data dan sains. 

 

Berlandaskan pendekatan secara menyeluruh bagi negara, kerajaan akan bekerjasama dengan pakar industri, NGO, pemimpin komuniti dan masyarakat umum dalam melaksanakan PPN. 

 

Pendekatan PPN yang sistematik akan mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan menjaga kelangsungan mata pencarian. 

 

Sejak pelaksanaan PPN pada 1 Jun lalu, sebanyak 8 daripada 14 negeri di Malaysia telah mencatat penurunan besar dalam kes baharu, seterusnya membolehkan mereka beralih ke fasa kedua sejak minggu lalu, dengan lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan di bawah pematuhan SOP yang ketat.

 

Tengku Zafrul berkata, bagi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik ini bantuan berterusan telah diberikan melalui pelaksanaan 8 pakej rangsangan dan bantuan kerajaan bernilai RM530 bilion, dan juga bajet tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun ini.

 

"Di bawah langkah-langkah Bajet 2021 dan pakej-pakej ini, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika melalui pelbagai fasa PPN. 

 

"Sehingga kini, pemantauan berterusan oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan tersebut telah menyelamatkan 2.8 juta pekerjaan, serta memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020," katanya. 

 

Malaysia juga, tambah beliau, merupakan salah satu negara yang melaporkan kadar vaksinasi paling pantas di dunia dengan purata suntikan vaksinasi lebih daripada 400,000 dos sehari. 

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijangka meningkatkan kadar vaksinasi kepada 500,000 dos sehari serta menyasarkan 100% daripada penduduk dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti. 

 

"Berdasarkan pendekatan fast-track ini, 100% populasi dewasa dijangka divaksinasi penuh menjelang akhir Oktober 2021," jelasnya. 

 

Menurutnya, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama, dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi. 
Faktor penyumbang lain termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai.

 

Tengku Zafrul berkata, kerajaan kekal komited dalam memastikan kemapanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana. 

 

Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7% (2009) daripada KDNK kepada 3.4% (2019). 

 

"Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil
negara, kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini. 

 

"Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi," katanya. 

 

Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman COVID-19 selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang, disokong oleh PPN serta pengurusan kewangan yang berhemah. 

 

"Sehubungan itu, kerajaan akan terus melaksanakan respon secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana COVID-19 yang mencabar ini di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik ini," kata beliau. - DagangNews.com