KUALA LUMPUR 29 Jun - S&P Global Ratings memberi penarafan 'stabil' daripada 'negatif' kepada sektor perbankan bagi memberi gambaran suasana pengoperasian yang stabil.
Penilaian semula itu melibatkan lima bank iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad and AmBank (M) Berhad.
S&P juga mengesahkan penarafan kredit penerbit jangka panjang 'A-' dan 'A-2' pada Maybank, CIMB Bank dan Public Bank, dan 'BBB+' jangka panjang dan 'A-2'. penarafan kredit penerbit jangka pendek pada RHB Bank dan AmBank.
"Unjuran stabil dibuat sebagai mengiktiraf trend pertumbuhan kukuh Malaysia yang konsisten yang lebih pantas daripada negara yang mempunyai tahap pendapatan yang sama.
"Walaupun defisit bajet Malaysia kekal tinggi, kami menjangkakan dinamik pertumbuhannya dapat mengimbangi kelemahan yang berkaitan dengan tetapan fiskalnya yang lemah.
"Sebagai tambahan, komitmen politik untuk meneruskan penyatuan fiskal selepas pandemik dilihat semakin kukuh," katanya.
Agensi penarafan kredit itu berkata, profil bank-bank di Malaysia akan terus berdaya tahan terhadap inflasi dan kadar kenaikan faedah
Profil kewangan bank-bank Malaysia mungkin akan kekal berdaya tahan terhadap inflasi yang lebih tinggi dan kenaikan kadar faedah.
"Risiko kualiti aset telah berkurangan dengan pinjaman yang menerima bantuan pembayaran balik menurun secara mendadak kepada 5%-6% daripada pinjaman domestik pada akhir April 2022 berbanding 15%-25% pada akhir Februari 2022.
"Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) juga kekal pada paras 1.6% sehingga April 2022, secara marginnya ia lebih tinggi berbanding 1.4% pada penghujung Disember 2021," katanya.
Sebagai reaksi kepada COVID-19, Malaysia membenarkan dua kali pemberian moratorium selama enam bulan bagi membantu perniagaan runcit dan pelanggan perusahaan kecil dan sederhana.
Pelanggan itu melibatkan 75% pinjaman dalam sistem bank komersial.
Majoriti pinjaman pelepasan yang tinggal adalah kepada pelanggan B50 (50% bawah peminjam individu mengikut pendapatan) yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.
Pada pandangan S&P, pinjaman yang disusun semula itu juga dilihat berisiko menjadi NPL.
"Ini mewakili pinjaman kepada orang yang bekerja dalam industri yang mengalami kesan jangka panjang seperti pelancongan atau hospitaliti. Pinjaman sedemikian boleh menambah sehingga 1.0-1.5 mata peratusan kepada NPL.
"Oleh itu, nisbah NPL seluruh sektor boleh memuncak pada 2.5%-3% dalam dua tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com