Pendanaan awam Moneysave biaya PKS dengan insurans RM1 juta | DagangNews Skip to main content

Pendanaan awam Moneysave biaya PKS dengan insurans RM1 juta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Moneysave (M) Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan pendanaan awam perangkai padan (P2P), menjadi syarikat pertama yang berjaya membiayai sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membeli Polisi Insurans Hayat Perniagaan bernilai RM1 juta. 

Pembiayaan itu berjaya dicapai menerusi pendanaan awam pada 5 Mei lalu di platformnya yang dilancarkan untuk sebuah syarikat PKS di Selangor yang menjalankan perniagaan rawatan air dan pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Moneysave, Vincent Soh berkata, sebagai sebuah kelas aset, pelabur akan menerima pulangan 10% pelaburan setiap tahun.

 

Vincent Soh
Vincent Soh

 

“Insurans perniagaan lain yang boleh mendapat pendanaan awam termasuk Insurans Kredit Perdagangan di mana syarikat mendapat perlindungan sekiranya gagal membayar hutang atau penangguhan pembayaran sehingga 90% kerugian, perlindungan risiko politik, penghospitalan dan pembedahan, projek berkaitan dan kelas insurans umum lain. 

“Moneysave menerima banyak pertanyaan daripada syarikat insurans dan agensi untuk menawarkan perniagaan dengan pelan ansuran sehingga 85% jumlah Premium dan lapan bulan ansuran untuk memudahkan aliran tunai PKS,” kata Soh dalam kenyataannya. 

Moneysave baru sahaja dilancarkan pada 5 Mei lalu dengan sasaran RM8 bilion pelaburan beserta pulangan 7% hingga 16% ke dalam platformnya menjelang lima tahun akan datang.

Jumlah itu dijangka dapat membiayai kira-kira 40,000 syarikat PKS di Malaysia dengan setiapnya menerima RM200,000 untuk kemudahan kewangan. 

Semasa seminggu pertama pelancaran Moneysave, platform itu telah melancarkan pelbagai nota pelaburan bagi syarikat-syarikat termasuk pakar peliharaan haiwan dalam talian dan firma kejuruteraan penjimatan tenaga.

Kebanyakan klien PKS Moneysave merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan agensi kerajaan. 

Dalam pada itu, bagi mengurangkan kos pembiayaan, PKS juga diberikan insentif sekiranya berjaya memenuhi kriteria pengurangan risiko. - DagangNews.com