Pendapatan 2021 KLCCSS turun 5.5% akibat sektor hotel, runcit terjejas | DagangNews Skip to main content

Pendapatan 2021 KLCCSS turun 5.5% akibat sektor hotel, runcit terjejas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pendapatan KLCC Stapled Securities (KLCCSS) pada tahun kewangan 2021 menyusut sebanyak 5.5% akibat penurunan permintaan dalam sektor perhotelan dan segmen peruncitan.

 

Firma penyelidikan HLIB Research melihat penurunan pendapatan itu disumbangkan oleh penurunan sebanyak 12% dalam sektor perhotelan akibat pelbagai sekatan oleh kerajaan menyebabkan ramai pihak membatalkan tempahan bilik serta penangguhan acara.

 

Katanya, sektor peruncitan juga menurun sebanyak 12% akibat daripada pemberian pelbagai bentuk bantuan serta sokongan daripada kerajaan selain penurunan pendapatan daripada segmen iklan.

 

"Bagi sewaan untuk segmen peruncitan jatuh kepada 93% berbanding 97% pada tahun kewangan 2020 manakala semen hotel menurun kepada 16% (FY20: 19%) namun sewaan pejabat kekal pada tahap 100%.

 

"Bagaimanapun kos operasi (-18.7%) dan kewangan (-0.5%) berjaya menampan kesan terhadap asas keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak -2.4%," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen pejabat KLCCSS akan terus berdaya tahan kesan daripada perjanjian jangka panjang sewaan pejabat.

 

Mereka menjangkakan, segmen peruncitan dan hotel akan terus mencatatkan pemulihan selaras dengan pembukaan sektor ekonomi selepas pemberian booster.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan saranan 'pegang' untuk saham-saham KLCCSS pada harga tidak berubah RM6.78 sesaham berdasarkan kepada agihan dividen bagi setiap unit (DPU) pada kadar 5.1% selain 10 tahun penerbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

 

"Suku keempat menunjukkan peningkatan yang baik dan kadar sewaan memberikan gambaran yang lebih meyakinkan pada tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com