Pendapatan aset industri baharu Axis REIT dijangka kurang daripada 1% | DagangNews Skip to main content

Pendapatan aset industri baharu Axis REIT dijangka kurang daripada 1%

Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Impak pendapatan syarikat Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) terhadap pemerolehan aset industri baharunya di Shah Alam dijangka minimum iaitu kurang daripada 1%.

MIDF Research berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan kepada hasrat syarikat berkenaan untuk membiayai pemerolehan aset industri baharu itu dengan pembiayaan bank yang sedia ada.

"Pertimbangan pembelian bernilai RM11.87 juta itu dianggap tidak signifikan memandangkan Axis REIT mempunyai jumlah pinjaman bernilai kira-kira RM1 bilion.

"Susulan itu, impak pendapatan daripada pemerolehan aset berkenaan juga dijangka rendah kurang daripada 1%," jelas MIDF Research.

Terdahulu, Axis REIT mengumumkan syarikatnya telah menandatangani perjanjian jual beli pemerolehan aset industri yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam.

Pemerolehan aset tersebut dibuat dengan pertimbangan harga RM11.87 juta daripada Melewar Steel Services Sdn. Bhd..

Harga tersebut juga dilihat adil kerana berada di bawah paras harga buku hartanah iaitu RM12.5 juta.

Hasil pendapatan kasar 7% boleh dijana melalui penyewa hartanah dengan kadar harga RM70,000 sebulan.

Jelas MIDF Research lagi, pemerolehan tersebut juga sejajar dengan strategi Axis REIT untuk mengembangkan lagi portfolio aset perindustriannya.

Melalui pemerolehan itu juga, Axis REIT turut menjangkakan pemerolehan aset tersebut dapat memberi keuntungan dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com