Pendapatan berasaskan dana rendah, untung bersih RHB Bank merosot 6.5% kepada RM649.95 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan berasaskan dana rendah, untung bersih RHB Bank merosot 6.5% kepada RM649.95 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Untung bersih RHB Bank Berhad merosot 6.5% kepada RM649.95 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM695.41 juta setahun lalu disebabkan pendapatan berasaskan dana yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan faedah bersih susut 17% kepada RM915.61 juta pada  3QFY23 berbanding RM1.1 bilion bagi suku yang sama sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), untung bersih bank itu meningkat 16% kepada RM2.22 bilion berbanding RM1.91 bilion untuk 9MFY22, walaupun pendapatan faedah bersih turun 14% kepada RM2.69 bilion daripada RM3.12 bilion sebelum ini.

 

Kumpulan itu berkata peningkatan keuntungan bagi 9MFY23 disebabkan elaun yang lebih rendah bagi kerugian kredit dan pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi.

 

Jangkaan kerugian kredit berkurangan 81.4% kepada RM71.4 juta untuk 9MFY23 disebabkan penghapusan balik tindanan pengurusan.

 

“Tidak termasuk hapus kira, kos kredit yang dinormalkan berada pada 0.24% (9MFY23), berbanding 0.35% untuk tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Rashid Mohamad berkata, pinjaman kasar kumpulan itu meningkat 3.4% kepada RM219.4 juta pada 9MFY23 didorong oleh gadai janji, kewangan peribadi, kewangan kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Singapura.

 

Katanya, deposit pelanggan tahun sehingga kini meningkat sebanyak 4% kepada RM236.1 juta, terutamanya daripada pertumbuhan dalam deposit runcit dan PKS.

 

Nisbah kos kepada pendapatan meningkat kepada 47.1% untuk 9MFY23, berbanding 44.3% setahun lalu.

 

“Walaupun menghadapi kesukaran, kumpulan itu terus mengekalkan prestasi kewangannya yang kukuh pada 3QFY23, dan seterusnya untuk 9MFY23, ketika ia mengharungi persekitaran operasi yang mencabar.

 

"Asas kumpulan kekal kukuh, seperti yang ditunjukkan dalam kedudukan modal dan mudah tunai yang sihat.

 

"Kami akan terus berhati-hati kerana risiko daripada faktor luaran, termasuk perkembangan terkini dalam ketegangan geopolitik serta cabaran dalam pasaran tertentu di mana kami beroperasi, boleh menjejaskan pertumbuhan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com