Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis - Pendapatan CIMB Group Holdings Bhd sebanyak RM3.83 bilion bagi 9 bulan tahun kewangan 2021 membentuk 85% daripada ramalan tahun penuh MIDF Research dan konsensus.
Walau bagaimanapun MIDF Research berkata, pihaknya menganggap ia masih dalam jangkaan kerana mengunjurkan peruntukan yang lebih tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2021 akan memberi kesan yang besar kepada pendapatan.
"CIMB mencatat pertumbuhan pinjaman yang lemah sebanyak 1.6% tahun ke tahun.
"Walaupun pinjaman penggunanya menyaksikan pertumbuhan 3.8% tahun ke tahun, ia diseret ke bawah oleh segmen komersialnya (-0.8% tahun ke tahun) dan borong (-0.5% tahun ke tahun)," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah firma penganalisis itu, penurunan ini disebabkan oleh usaha membentuk semula portfolio CIMB, yang melibatkan pengeluaran dari ruang pinjaman komersial Thailand dan penyelarasan semula ruang komersial di kedua-dua Indonesia dan Singapura.
"Untuk menampung pengimbangan semula portfolio bagi mengekalkan kualiti asetnya, kumpulan itu telah menyemak semula panduan pertumbuhan TK21 kepada 2-3%tahun ke tahun daripada sasaran sebelumnya 4-5%/," katanya.
CIMB merekodkan kerugian bersih sebanyak RM100.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2021, berbanding keuntungan bersih RM194.44 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Perolehan merosot kepada RM4.39 bilion daripada RM4.41 bilion sebelumnya.
Kumpulan perbankan itu berkata, pendapatan operasi bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 turun 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas terutamanya disebabkan oleh pendapatan bukan faedah yang rendah kerana prestasi tahun kewangan 2020 yang lebih kukuh disebabkan oleh pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan pertukaran mata wang asing serta pengurusan harta.
"Memandangkan harga saham CIMB telah jatuh sejak pengumuman itu, kami menaik taraf panggilan kepada 'BELI' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.55 sesaham," kata MIDF Research. -DagangNews.com