Pendapatan Dancomech diunjur meningkat didorong peningkatan hasil segmen perdagangan dan kejuruteraan, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Dancomech diunjur meningkat didorong peningkatan hasil segmen perdagangan dan kejuruteraan, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - CGS-CIMB Research mengunjurkan pendapatan suku tahun Dancomech Holdings Berhad meningkat bagi FY23 didorong oleh segmen perdagangan dan kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E).

 

Firma itu berkata, kumpulan itu seharusnya mendapat manfaat daripada aktiviti pembinaan yang lebih tinggi dan faktor bermusim menjelang penghujung 2023.

 

Katanya, pada 1 Mac 23, kumpulan itu menyempurnakan pemerolehan 70% kepentingan dalam JusEV Charging Network Sdn. Bhd. (JusEV), yang terlibat dalam perniagaan menyediakan peralatan bekalan kenderaan elektrik (EV) untuk sektor rumah, awam dan komersial.

 

"Pengambilalihan JusEV membolehkan kumpulan itu melibatkan diri dalam industri peralatan bekalan EV, yang seharusnya menyumbang kepada segmen kejuruteraan E&E.

 

"Kumpulan itu mempunyai kedudukan tunai bersih RM79.7 juta pada akhir suku pertama 2023 (iaitu 43.9% daripada modal pasarannya).

 

"Kami percaya kedudukan tunainya yang kukuh memberi peluang untuk kumpulan itu terus mencari tawaran pengambilalihan yang meningkatkan pendapatan anak syarikatnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih teras 1QFY23 meningkat 52.2% kepada RM4.3 juta, didorong oleh pertumbuhan hasil dan margin operasi yang lebih baik, kerana kos operasi kekal tidak berubah.

 

Pada asas suku tahu ke suku tahun, keuntungan bersih teras adalah 57.3% lebih rendah disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dan margin operasi yang lebih lemah.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan sesaham (EPS) dan mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan beberapa cabaran termasuk peningkatan kos input dan jumlah jualan yang lebih rendah serta persaingan harga di pasaran," katanya. - DagangNews.com