Pendapatan Duopharma bagi FY23 dijangka terjejas oleh peningkatan kos operasi, kata CSG-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Duopharma bagi FY23 dijangka terjejas oleh peningkatan kos operasi, kata CSG-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Peningkatan kos operasi untuk utiliti dan kakitangan akan menjejaskan pendapatan Duopharma Biotech Bhd bagi tahun kewangan 2023 (FY23), menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai perbelanjaan operasi (opex) tambahan sebanyak RM15 juta hingga 18 juta pada FY23 untuk kos yang tinggi untuk elektrik dan kakitangan, di mana firma itu jangka akan mengurangkan margin bersih.

 

“Oleh itu, sementara aliran pendapatan kekal sihat pada Januari dan Februari tahun ini, kami unjur penyusutan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 17 hingga 19%,” katanya.

 

Di dalam nota hari ini, firma itu mengulas lanjut bahawa ia negatif terhadap laporan kewangan suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) kumpulan itu.

 

“Duopharma menjangkakan peningkatan perbelanjaan opex FY23 didorong kos elektrik tambahan sebanyak RM8 juta hingga 10 juta setahun memandangkan surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) telah dinaikkan oleh kerajaan kepada 20 sen/kWj pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) berbanding 3.7 sen/kWj,” katanya.

 

Di samping itu, terdapat peningkatan kos kakitangan yang berpotensi berjumlah RM7 juta hingga 8 juta setahun akibat bayaran kerja lebih masa yang dinaikkan kepada gaji RM4,000 sebulan yang telah dikuatkuasakan pada 23 Januari dan kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,500 sebulan yang akan berkuat kuasa pada 22 Mei.

 

Firma itu percaya kumpulan itu akan menghadapi kemampatan margin keuntungan bersih FY23-25  walaupun tekanan kos boleh berkurang disebabkan kenaikan harga pelanggan sektor swastanya dan pengurangan kos bahan mentah disebabkan penurunan harga pada bahan aktif farmaseutikal (API), keuntungan pertukaran mata wang asing (forex) dan penyusutan kadar pengangkutan.

 

Katanya, aliran pendapatan yang positif pada Januari dan Februari tahun ini dipacu oleh jualan beretika.

 

Pertumbuhan jualan tempatan sebanyak 3% tahun ke tahun (YoY) pada 4QFY22 adalah berikutan jualan beretika sektor swasta melalui segmen penjagaan kesihatan pengguna (CHC) dan jualan beretika sektor awam yang mencatatkan peningkatan pada Januari dan Februari tahun ini.

 

“Secara positifnya, jualan produk analgesik, Uphamol 650, meningkat hampir dua kali ganda YoY pada FY22, di mana ia telah membantu untuk mengimbangi permintaan vitamin C yang semakin berkurangan setakat ini,” ujarnya.

 

Di samping itu, firma itu memetik Duopharma yang berkata kerajaan masih belum memanggil tender senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) dan menjangka kontrak sedia ada akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini memandangkan proses tender biasanya berlangsung selama 6 hingga 8 bulan.

 

Oleh itu, CGS-CIMB menurunkan saranan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM1.59. -DagangNews.com