Pendapatan FGV suku pertama melonjak RM3.93 bilion | DagangNews Skip to main content

Pendapatan FGV suku pertama melonjak RM3.93 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 28 Mei - FGV Holdings Bhd. mencatat kerugian bersih yang lebih kecil pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 kepada RM35.42 juta berbanding RM142.35 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu melonjak kepada RM3.93 bilion berbanding RM2.78 bilion bagi tempoh sama 2020 disokong oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, volum kukuh serta harga yang lebih bagi produk pengguna dan baja.

 

Keuntungan operasi FGV pada suku berkenaan juga lebih tinggi sebanyak RM186 juta dengan penambahbaikan ketara berbanding kerugian operasi sebanyak RM56 juta pada suku tahun sama sebelumnya. 

 

Keadaan ini disumbangkan oleh margin lebih tinggi produk sawit di samping prestasi perniagaan gula yang memberangsangkan.

 

Bagi suku tahun dikaji, harga purata MSM ialah RM3,172 setiap tan metrik iaitu 19% lebih tinggi berbanding harga purata MSM yang direalisasikan pada suku pertama 2020 sebanyak RM2,669 tan metrik. 

 

Pegawai Bertanggungjawab Kumpulan FGV dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan, Azman Ahmad berkata, selaras dengan pengekalan harga purata MSM direalisasikan dan minyak sawit siap diproses (MSP) yang tinggi, kumpulan mencatatkan pengukuhan keuntungan operasi menerusi margin tinggi di bahagian perladangan dan perniagaan gula. 

 

"Bagaimanapun, keuntungan FGV terjejas disebabkan oleh caj pelarasan nilai semasa ke atas Perjanjian Pajakan Tanah (LLA)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada suku pertama, FGV mencatatkan pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) sebanyak RM42 juta yang disokong oleh keuntungan operasi sebanyak RM186 juta, namun dimbangi oleh pelarasan nilai semasa LLA sebanyak RM144 juta.

 

Sektor perladangan FGV merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM51 juta berbanding RM147 juta pada suku pertama 2020, peningkatan 66% tahun ke tahun yang disumbangkan oleh pembaikan dalam margin MSM selaras dengan harga purata MSM direalisasikan dan kos MSM ke pintu kilang yang rendah.

 

Bagi segmen huluan di bawah sektor perladangan, FGV merekodkan LBZT lebih rendah sebanyak RM63 juta pada suku pertama 2021 berbanding LBZT sebanyak RM137 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Ini disebabkan oleh margin tinggi dalam produk sawit. Tetapi, pendapatan di bawah segmen ini meningkat kepada RM1.78 bilion pada tempoh itu berbanding RM1.35 bilion tahun lalu.

 

Untuk sektor gula pula, anak syarikat milik penuh FGV sebanyak 51%, MSM Malaysia Holdings Berhad mengekalkan momentum dan mencatatkan keputusan positif kedua bagi suku tahun sama berturut-turut. 

 

Sektor berkenaan merekodkan PBZT RM51 juta bagi suku tahun dikaji yang menyaksikan pembaikan ketara dalam LBZT tahun sebelumnya sebanyak RM28 juta. 

 

Pendapatan sektor juga meningkat kepada RM515 juta pada suku pertama 2021 berbanding RM513 juta pada suku tahun sama sebelumnya.

 

Mengenai prospek akan datang, Azman berkata, FGV menjangkakan harga MSM kekal tinggi namun suasana operasi di sektor perladangan akan kekal mencabar kesan daripada wabak COVID-19 dan kesukaran mendapatkan buruh. 

 

"Perniagaan Gula pula kekal optimis terhadap pelan pemulihan dan mampu mencapai pertumbuhan mapan dengan fokus tambahan terhadap eksport. Penggunaan gula domestik pula dijangka kekal kukuh kesan perintah kawalan pergerakan. 

 

"Sementara itu, perniagaan logistik pula akan meneruskan strategi bagi menambahbaik volum jualan, margin dan kecekapan operasi,” katanya. - DagangNews.com