Pendapatan FY21 Hartalega dijangka meningkat 49% | DagangNews Skip to main content

Pendapatan FY21 Hartalega dijangka meningkat 49%

Hartalega Holdings Berhad (Hartalega)

MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan getah, Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) dijangka meningkat sebanyak 49% bagi tempoh tahun kewangan 2021.

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat melihatkan kepada jangkaan kenaikan harga purata jualan (ASP) yang melonjakkan pendapatan dan keuntungan syarikat berkenaan.

 

"Kami percaya bahawa kenaikan ASP akan mengimbangi kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

"Kami berpendapat bahawa ASP sarung tangan berada pada landasan kenaikan untuk suku hadapan yang berakhir pada Mac.

 

Kami percaya bahawa kenaikan ASP berturut-turut mungkin melebihi 40% berbanding dengan suku tahunan semasa," jelas CGS-CIMB Research.

 

Hartalega mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 83.8% suku ke suku kepada RM1.00 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2021.

 

Jumlah tersebut dicapai hasil dorongan dan peningkatan jumlah pendapatan sebanyak 58.2% kepada Rm2.13 bilion berbanding suku sebelumnya.

 

Kenaikan pendapatan tersebut disebabkan oleh kenaikan ASP sarung tangan serta jumlah penjualan yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, CSG-CIMB Research berkata, pihaknya menjangkakan Hartalega akan terus mencatatkan jumlah hasil yang lebih kukuh pada suku akan datang.

 

Jangkaan itu didorong oleh jumlah penjualan yang lebih tinggi hasil operasi penuh dua baris pengeluaran sarung tangan getah dan kenaikan ASP.

 

"Hartalega berhasrat untuk meningkatkan ASP sebanyak 40% hingga 50% pada suku keempat 2021, dan tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan terus meningkatkan ASP melebihi tempoh tersebut.

 

"Kami faham bahawa Hartalega yakin dapat meningkatkan ASP lebih jauh kerana mereka terus ketinggalan berbanding pesaing lain, di samping permintaan dan penawaran sektor sarung tangan masih berpihak kepadanya," jelas CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham Hartalega dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi berjumlah RM21.80.

 

MIDF Research pula mengekalkan saranan 'beli' saham Hartalega dengan TP yang disemak semula bernilai RM18.25 berbanding RM22.96 pada sebelumnya. - DagangNews.com