Pendapatan FY21 Mah Sing dijangka lebih mengukuh | DagangNews Skip to main content

Pendapatan FY21 Mah Sing dijangka lebih mengukuh

Mah Sing Group Berhad (Mah Sing)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Prestasi pendapatan syarikat pemaju hartanah Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dijangka lebih mengukuh bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

MIDF Research berkata, pengukuhan tersebut dijangka disumbangkan hasil pembuatan sarung tangan getah serta sektor hartanah.

 

"Kami melihat tinjauan pendapatan yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2021 terutamanya disumbangkan oleh pembuatan sarung tangan dan sumbangan yang lebih tinggi dalam bahagian pembangunan hartanah.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' saham Mah Sing," jelas MIDF Research.

 

Pada Oktober lalu, syarikat pemaju hartanah tersebut mula meletakkan cadangan untuk terlibat dalam pembuatan sarung tangan getah.

 

Pilihan tersebut dibuat bagi membantu mengurangkan risiko penurunan syarikat akibat penularan COVID-19 dalam ekonomi global dan tempatan.

 

Baca: Mah Sing tingkatkan fokus kepada sarung tangan, selain pembinaan

 

Syarikat tersebut memperoleh RM41.2 juta pendapatan bersih bagi tahun kewangan 2020.

 

Bagi suku keempat 2020, pendapatan yang dicapai adalah lebih tinggi sebanyak RM472.8 juta hasil projek hartanah yang sedang dijalankan iaitu M Vertica dan M Centura.

 

Pendapatan bersih suku keempat 2020 bagaimanapun lebih rendah sebanyak RM8.2 juta, menurun -62.7% berbanding suku sebelumnya.

 

Menariknya, Mah Sing berjaya mencapai sasaran jualan yang diletakkan pada tahun kewangan 2020 sebanyak RM1.1 bilion.

 

Baca: Sarung tangan getah Mah Sing dikeluarkan April ini

 

Susulan itu, syarikat berkenaan turut mengumumkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2021 iaitu sebanyak RM1.6 bilion.

 

Menyentuh berkaitan perancangan Mah Sing pada tahun kewangan 2021, CGS-CIMB Research berkata, syarikat berkenaan merancang untuk melancarkan projek baharu dengan jumlah nilai pembangunan kadar (GDV) sekitar RM2.4 bilion.

 

Projek berkenaan meliputi M Vertica, M Centura, M Arisa, Southville City, M Aruna dan M Residence.

 

Bagi Wilayah Selatan pula, projek yang akan dilancarkan adalah Sierra Perdana, Mah Sing i-Parc dan Meridin East serta Bandar Southbay di Wilayah Utara.

 

"Mengikut penilaian harga, 51% bagi projek tahun kewangan 2021 mungkin akan dijual pada harga di bawah RM500,000/unit, 40% yang berharga RM500,000-RM700,000/unit dan selebihnya sebanyak 9% pada harga lebih RM700,000/ unit," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com