Pendapatan Genting Plantations kurang rangsangan berikutan tiada rancangan lupus tanah – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Genting Plantations kurang rangsangan berikutan tiada rancangan lupus tanah – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Pendapatan Genting Plantations Berhad kurang rangsangan memandangkan kumpulan itu tiada rancangan untuk segera melupuskan tanah melainkan bakal pembeli boleh meningkatkan lagi nilai perbandaran sedia ada di Johor.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata demikian walaupun ia optimis terhadap potensi hartanah kumpulan itu untuk membuka kunci nilai bank tanah strategiknya di Johor.

 

Firma penyelidikan itu menurunkan saranan saham kumpulan itu kepada ‘pegang’ memandangkan peningkatan harga sasaran (TP) baharu pada RM6.33 (daripada RM6) adalah terhad selepas melancarkan penilaian ke hadapan kepada FY24 (berdasarkan nisbah harga pendapatan [PER] tidak berubah pada 19 kali), -1SD (sisihan piawai) sebanyak purata lapan tahun.

 

Menurut firma itu, bahagian hartanah Genting Plantations, yang memulakan pembangunan perbandaran pada 1993, pada masa ini merupakan penyumbang kecil kepada kumpulan dengan RM56 juta atau 17% daripada keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) kumpulan dalam tempoh sembilan bulan 2023.

 

Bagaimanapun, Maybank IB percaya bahagian hartanah kumpulan itu mempunyai potensi untuk sumbangan lebih besar. Ketika kemuncaknya pada 2014, ia menyumbang RM155 juta atau 31% daripada PBIT kumpulan.

 

“Buat masa ini, pertumbuhan pendapatan FY24-25 sepatutnya berpunca daripada pelancaran dan jualan hartanah di dua pembangunan perbandaran aktifnya di Kulai (perbandaran perdana) dan Batu Pahat, serta cawangan premium baharu di Jakarta yang dijadualkan dibuka pada suku pertama 2025,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dua perbandaran Genting Plantations di Johor iaitu Genting Indahpura, Kulai; dan Genting Pura Kencana, Batu Pahat yang bakal dilancarkan tahun ini dianggarkan bernilai RM480 juta.

 

Maybank IB berkata, sebahagian daripada pelancaran ini dibawa ke hadapan mulai 2023, iaitu pelancaran perindustrian di Batu Pahat bernilai kira-kira RM230 juta, manakala projek di Kulai bernilai kira-kira RM250 juta, terutamanya melibatkan kediaman.

 

Sekiranya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula, firma penyelidikan itu berkata ia pasti akan memangkin dan mempercepatkan permintaan hartanah di Batu Pahat pada masa hadapan, terutamanya pembangunan perbandaran Genting Plantation.

 

Di samping itu, firma tersebut mendedahkan potensi pembangunan tiga projek lain pada masa akan datang, memandangkan Genting Plantations mempunyai tanah di Segambut, Sepang dan Sentul City, Jakarta, yang boleh menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan seterusnya bagi kumpulan itu.

 

Pada pukul 10:28 pagi ini, saham Genting Plantations telah susut 11 sen atau 1.8% kepada RM6.17 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM5.5 bilion. - DagangNews.com