Pendapatan Guan Chong pada FY24-25 berpotensi susut ekoran kenaikan harga biji koko – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Guan Chong pada FY24-25 berpotensi susut ekoran kenaikan harga biji koko – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - Kenaikan harga biji koko dan keperluan modal kerja tambahan berpotensi menjejas pendapatan Guan Chong Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25).

 

Oleh itu, RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan FY24-25 sebanyak 10% dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM2.70 sesaham daripada RM3 sebelumnya, namun mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap syarikat pengeluar produk berasaskan koko itu.
 

Susulan laporan kewangan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), firma penyelidikan itu mendapati bahawa kumpulan itu mencatat penurunan pendapatan sebanyak 32.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM101 juta.

 

RHB Investment berkata, jumlah tersebut merangkumi anggaran tahun penuh firma dan konsensus hanya pada 81% dan 74%, yang mana perbezaan tersebut berpunca daripada margin yang lebih rendah daripada jangkaan berikutan lonjakan harga bahan dan kos faedah ditanggungnya.

 

“Meskipun kos penyimpanan kekal tinggi kerana peningkatan harga biji koko, ini mungkin diimbangi oleh nisbah gabungan yang semakin meningkat dalam pasaran penjual semasa. 

 

“Kami menjangkakan pendapatan Guan Chong lebih tinggi pada FY24 (walaupun harga biji koko berterusan tinggi) di tengah-tengah kuasa penetapan harga baharu memandangkan permintaan berdaya tahan, kedudukan dilindungi dengan baik dan pengembangan sedia ada,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, jangkaan defisit kacang untuk musim 2023-2024 kini telah mengalihkan pasaran koko ke arah pasaran penjual.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu memperoleh kuasa penentuan harga tertentu kerana banyak pesaingnya mengecilkan operasi atau tidak dapat menghasilkan produk kerana kekurangan bekalan biji koko/ 

 

“Trend menaik dalam nisbah gabungan dan kekurangan bekalan serbuk koko di pasaran Asia membuka peluang penambahbaikan margin bagi mengimbangi kenaikan harga biji koko dan kos penyimpanan tambahan, sekali gus menterbalikkan trend kesan jeda yang dialami dalam pasaran pembeli pada FY23.

 

“Walaupun persekitaran harga biji koko yang stabil akan memberi manfaat kepada syarikat, ia menawarkan peluang untuk penggiat kukuh seperti Guan Chong untuk memperoleh bahagian pasaran dan mengembangkan jejaknya,” tambah firma itu.

 

Pada pukul 10:33 pagi ini, saham Guan Chong telah menokok4 sen atau 2.6% kepada RM1.61 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.89 bilion. - DagangNews.com