Pendapatan IHH berpotensi meningkat selepas isu Fortis Healthcare berjaya diselesaikan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IHH berpotensi meningkat selepas isu Fortis Healthcare berjaya diselesaikan - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - Mahkamah Agung India telah membersihkan nama IHH Healthcare Berhad daripada sebarang salah laku dalam pelaburannya dalam Fortis Healthcare dan ia dilihat berpotensi meningkatkan pendapatan kumpulan itu pada masa akan datang.

 

RHB Research berkata, laporan Mahkamah Agung itu telah mengisytiharkan IHH tidak bersalah atas sebarang salah laku yang berkaitan dengan Pelaburan Fortis selain telah melupuskan petisyen menghina mahkamah.

 

Firma itu berkata, keputusan mahkamah semasa mengenai pengambilalihan RHT Health Trust oleh Fortis kekal sebagai tidak tertunggak kerana Mahkamah Tinggi masih boleh menjalankan audit forensik jika dianggap transaksi itu tidak sesuai.

 

Sementara itu, IHH sedang berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi menentukan tindakan seterusnya dalam meneruskan tawaran pengambilalihan mandatori (MTO) bagi baki 26% pegangan dalam Fortis.

 

"IHH mengulangi komitmen mereka untuk menghormati MTO itu selepas pihak berkuasa memberikan kebenaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu yakin dengan perkembangan semasa memandangkan halangan jangka pendek untuk IHH telah diselesaikan.

 

Bagaimanapun, katanya, perjanjian RHT-Fortis berpanjangan akan memberi kesan kepada sentimen pelabur jangka pendek sehingga perintah mahkamah terakhir dikeluarkan.

 

Firma itu mengekalkan andaian pegangan ekuitinya untuk Fortis pada 31% dalam penilaian jumlah bahagiannya selain tidak membuat sebarnag perubahan terhadap unjuran pendapatan daripada urus niaga itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.42.

 

"Sekiranya MTO itu berjaya dilaksanakan, teradapat potensi peningkatan sebanyak 4% untuk TP semasa selain peningkatan 3% untuk pendapatan teras 2023," katanya. - DagangNews.com