Pendapatan Inta Bina diunjur meningkat 16% disokong pertambahan buku pesanan sebanyak RM600 juta pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Inta Bina diunjur meningkat 16% disokong pertambahan buku pesanan sebanyak RM600 juta pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - RHB Investment mengunjurkan pendapatan Inta Bina Group Bhd meningkat sebanyak 16% disokong pertambahan buku pesanan sebanyak RM600 juta bagi FY24.

 

Katanya, unjuran itu juga disokong penyertaan kumpulan itu dalam perniagaan eskalator dan lif di bawah jenama Canny Lift yang akan menyumbang kepada peningkatan hasil dengan margin yang lebih baik.

 

"Kumpulan itu juga dijangka meraih lebih banyak kontrak baharu di Johor memandangkan pelanggan jangka panjangnya seperti Eco World Development Group Bhd dan UEM Sunrise Bhd sedang rancak menjalankan pembangunan di negeri itu.

 

"Langkah menyertai perniagaan lif juga akan menyediakan pendapatan berulang kepada kumpulan menerusi perkhidmatan penyelenggaraan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu memperoleh kontrak baharu bernilai RM453 juta pada FY23 daripada Eco World Development Group Bhd dan Mah Sing Group Bhd menjadikan buku pesanan tertunggaknya kepada RM1 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lebih 90% daripada pendapatan Inta Bina diperoleh daripada projek di Lembah Klang membolehkan kumpulan itu memanfaatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor antara 6.5%-7% dari 2021-2025 di bawah Rancangan Selangor 1.

 

Katanya, peningkatan nilai transaksi hartanah kediaman di Selangor dan Kuala Lumpur mungkin menjadi faktor pertumbuhan untuk buku pesanannya, terutamanya dengan kadar faedah yang memuncak.

 

Sementara itu RHB Investment berkata, bahagian hartanah kumpulan, Angkasa Senuri, melancarkan projek pertamanya, Senuri Residence, pada 7 Oktober 2023 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM204 juta.

 

Katanya, projek itu terbukti berjaya dengan kadar pengambilan 80% yang mengagumkan sejak pelancaran awalnya dan usaha niaga itu memberi faedah sinergi apabila kumpulan itu terlibat dalam setiap peringkat proses pembangunan bagi menghasilkan margin yang lebih baik.

 

"Kami tidak menetapkan sebarang penarafan tetapi memberikan harga wajar (FV) 54 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com