Pendapatan IOI Properties bagi FY24-25 dijangka dipacu pemajakan Central Boulevard pada suku pertama 2024 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IOI Properties bagi FY24-25 dijangka dipacu pemajakan Central Boulevard pada suku pertama 2024 – RHB Investment

Illustrasi IOI Central Boulevard di Singapura
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Pemajakan Central Boulevard yang akan bermula pada suku pertama 2024 dijangka menjadi pemangkin pendapatan utama IOI Properties Group Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 hingga 2025 (FY24-25), menurut RHB Investment.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma itu berkata, sehingga kini, prospek pemajakan sangat menggalakkan berikutan firma global mengembangkan kehadiran mereka di rantau ini selepas wabak.

 

“Bangunan itu dijangka menerima permit pendudukan sementara pada suku pertama 2024 dan kami menjangkakan penghunian mencecah lebih 80% apabila ia mula beroperasi.

 

“Dengan kadar sewa pasaran S$13 hingga 15 setiap kaki persegi, ini sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi perbelanjaan faedah bagi pinjaman asas,” katanya.

 

Bagi operasi IOI Properties di China, RHB Investment berkata langkah rangsangan baru-baru ini untuk memulihkan pasaran perumahan seharusnya mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap projeknya di Xiamen.

 

“Baru minggu lalu, diumumkan bahawa bayaran pendahuluan minimum untuk gadai janji dan kadar faedah gadai janji untuk pembeli rumah kali pertama akan dipotong.

 

“Oleh itu, walaupun IOI Properties tidak akan melancarkan sebarang produk baharu di China tahun ini, kami menjangkakan baki inventori belum terjual yang selebihnya (bernilai RM1.17 biion) beransur-ansur berkurang dalam tempoh dua tahun berikutnya,” katanya.

 

Sementara itu, pelancaran Marina View di Singapura, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.5 bilion, pada Oktober 2023 dijangka meningkatkan jualan hartanah kumpulan pada FY24.

 

“Walaupun kami berpendapat pengambilan awal akan agak perlahan, namun nilai tersebut sepatutnya dapat meningkatkan jualan hartanah FY24-25, di samping jualan yang dijana daripada projeknya di Malaysia,” tambahnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham.

 

Setakat pukul 11:26 pagi ini, saham IOI Properties telah menokok 2 sen atau 1.2% kepada RM1.66 dengan permodalan pasarannya bernilai RM9.1 bilion. Setakat tahun ini, saham kumpulan telah meningkat 55%. - DagangNews.com