Pendapatan Optimax dijangka terus kukuh menerusi rancangan pembukaan cawangan baharu | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Optimax dijangka terus kukuh menerusi rancangan pembukaan cawangan baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan pendapatan Optimax Holdings Berhad akan kekal kukuh dengan mereka merancang mengembangkan rangkaian pusat pakar matanya bagi memanfaatkan populasi Malaysia yang semakin berusia.

 

Firma itu berkata, pada masa sama kadar peningkatan penembusan insurans memberi kelebihan kepada mereka selain kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk menubuhkan pusat penjagaan ambulatori (ACC) di Bahau, Negeri Sembilan dan klinik satelit pertama di Skudai, Johor pada 2Q22F.

 

"Optimax akan membuka empat pusat baharu (1 ACC, 3 klinik satelit) pada FY23F dan tiga pusat (2 ACC, 1 hospital) pada FY24F terutama selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Selgate Healthcare.

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan Optimax akan memiliki tambahan 13 cawangan pada FY22-24F (setakat ini 13 cawangan)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Optimax akan tubuh ACC, klinik satelit pertama pada Q2FY22

 

Terdahulu, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nialai dan pelunasan (EBITDA) 1QFY22 melonjak sebanyak 60.9% hasil daripada pendapatan yang kukuh dan menyumbang kepada untung teras bersih sebanyak RM2.6 juta.

 

optimax

 

Optimax mencatatkan kadar pertumbuhan hasil yang teguh sebanyak 60.5% dari tahun ke tahun pada 1QFY22 didorong oleh semua jenis pembedahan mata seperti katarak, laser dan implan.

 

"Peningkatan itu disumbangkan oleh permintaan yang tinggi dan permintaan daripada pesakit yang menangguhkan pembedahan mereka akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP 2.0 pada 1QFY21," katanya.

 

Firma itu mengekalkan sasaran 'tambah' terhadap Optimax denga harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.77.

 

"Kami menyukai Optimax kerana prospek perkembangan yang kukuh dan memiliki rekod prestasi yang cemerlang dalam perkhidmatan pakar mata," katanya. - DagangNews.com