Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Jumlah pendapatan perkhidmatan pekerja asing syarikat My E.G Service Berhad (MyEG) dijangka menurun susulan penutupan sempadan negara akibat COVID-19.
MIDF Research berkata, penularan wabak itu juga turut menjejaskan perniagaan luar negara MyEG.
"Kerana penutupan sempadan negara, kami menjangkakan penurunan pendapatan daripada perkhidmatan pekerja asing.
"Memandangkan pandemik COVID-19, kami juga menjangkakan prestasi perlahan perniagaan luar negara terutamanya Indonesia," jelas MIDF Research.
Pada Januari 2020, MyEG telah mendapat mandat untuk melancarkan sistem pemantauan cukai ke 30 buah bandar di Indonesia.
Perniagaan tersebut berpotensi untuk melonjakkan jumlah sumbangan luar negara kumpulan berkenaan.
MyEG mencatatkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM70.7 juta pada suku ketiga 2020.
Jumlah tersebut meningkat sebanyak 12.2% berbanding keuntungan suku sebelumnya yang hanya berjumlah RM63.1 juta.
Sementara itu, CGS-CIMB Research pula memberitahu, syarikat berkenaan turut meletakkan sasaran untuk menjalankan sebanyak 500,000 ujian saringan COVID-19 pada tahun 2020.
Hingga Oktober 2020, MyEG telah menjalankan 200,000 pemeriksaan dan saringan COVID-19 sejak mula dilancarkan pada akhir Jun 2020.
"Kami menjangkakan lebih banyak ujian saringan dijalankan pada suku keempat 2020 susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu menjalani saringan secara mandatori tanpa mengira sektor.
"Ini mungkin akan melibatkan pekerja asing yang berjumlah kira-kira 1.6 juta pekerja," tambah CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com