Pendapatan sektor penjagaan kesihatan dijangka terus berkembang pada 2024 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan sektor penjagaan kesihatan dijangka terus berkembang pada 2024 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - RHB Investment mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor penjagaan kesihatan yang dijangka terus mencatat pertumbuhan pendapatan pada 2024.

 

Ini diperkukuh oleh permintaan yang agak tidak anjal, kesedaran lebih tinggi mengenai kesihatan dalam kalangan pengguna dan keadaan masyarakat yang semakin menua memacu prospek pertumbuhan pembuat ubat-ubatan generik dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

“Walaupun sektor ini dilihat selamat untuk pelaburan, kami tetap menyaran pelabur memilih syarikat-syarikat yang menumpukan operasi dalam pasaran tempatan kerana pendapatan mereka seharusnya lebih stabil,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi sektor ini, pilihan utama firma tersebut adalah KPJ Healthcare Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.66 sesaham, yang mempunyai potensi kenaikan saham 10% daripada harga penutup semalam pada RM1.51.

 

Menurut RHB Investment, tumpuan utama KPJ Healthcare pada 2024 melibatkan peningkatan kecekapan (terutamanya buat hospital-hospital yang sedang menunggu hasil) dan lebih penting lagi, menaikkan potensi penilaiannya dengan objektif utama untuk merapatkan jurang penilaiannya dengan IHH Healthcare (IHH).

 

Perbezaan penilaian KPJ berbanding IHH dari segi EV/EBITDA (nisbah nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) menyusut menjadi 5% lebih rendah setakat 18 Januari berbanding purata lima tahun 18.5%.

 

Bagi IHH (beli, TP: RM6.90) pula, firma itu menjangkakan ia terus menumpu pada penambahan bilangan katil seperti yang digariskan melalui sasaran jumlah katil baharunya untuk lima tahun sebanyak 3,800 unit.

 

“Dengan keadaan inflasi yang amat tinggi di Turki sekarang, kami yakin IHH akan terus mempelbagaikan hasilnya ke arah pesakit yang membayar dalam mata wang selain lira Turki (TRY), sambil membuat penyelarasan harga pada masa bersesuaian demi mengurangkan sebarang tekanan kos,” tambahnya,

 

Mengulas tentang segmen pelancongan kesihatan (HT), RHB Investment berkata prospek segmen masih positif memandangkan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia yang disediakan pada harga setara dengan pasaran, di samping mudah mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan dan komunikasi dengan pakar perubatan.

 

“Mengikut semakan saluran kami dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), HT di negara ini dijangka menjana hasil sebanyak RM2 bilion pada 2023, sekali gus mengatasi paras puncaknya sebelum pandemik iaitu RM1.7 bilion pada 2019,” tambahnya.

 

Bagi mengukuhkan lagi landskap HT, firma itu mendedahkan bahawa MHTC telah merangka beberapa inisiatif seperti Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana, jualan silang pelancongan kesihatan dan juga perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan, pendigitalan khidmat pelanggan, serta mengenal pasti dan membangunkan peluang pasaran baharu.

 

Sementara itu, dalam subsektor farmaseutikal, RHB Investment menjangkakan sentimen pengguna yang bertambah baik (menurut Jabatan Ekonomi RHB) akan meningkatkan permintaan untuk barangan belian kaunter.

 

“Sehubungan dengan itu, peningkatan momentum eksport dilihat bakal memberi manfaat kepada Duopharma Biotech (beli, TP: RM1.41) dan Kotra Industries (beli, TP: RM5.40), kerana hasil yang dicatat daripada pasaran luar negara mereka membentuk 6% dan 45% daripada pendapatan mereka,” katanya.  - DagangNews.com