Pendapatan sektor perladangan pada separuh kedua diunjur lebih baik disokong kos input rendah - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan sektor perladangan pada separuh kedua diunjur lebih baik disokong kos input rendah - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Kenanga Research mengunjurkan pendapatan sektor perladangan pada separuh kedua tahun ini menjadi lebih baik disokong oleh pengeluaran lebih tinggi, kos input yang rendah selain harga jualan yang lebih baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, 55% daripada kelapa sawit mentah tahunan dituai pada separuh tahun kedua dengan September dan Oktober (kadang kala November atau Ogos) mencatatkan pengeluaran bulanan terbaik.

 

"Kos input, seperti baja dan diesel juga menjadi semakin baik dari tahun ke tahun dengan kos baja adalah kira-kira 40% di bawah harga puncak pada suku kedua 2022 tetapi masih 50% melebihi purata 10 tahun.

 

"Kos tenaga juga telah berkurangan tetapi gaji yang lebih tinggi kekal memberi kesan.

 

"Isirung sawit (PK), produk sampingandaripada buah tandan segar (BTS) untuk mengekstrak minyak sawit mentah (MSM), dijual untuk membantu mengimbangi kos pengeluaran MSM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun MSM kebanyakannya digunakan sebagai makanan manakala PK berakhir dalam produk penjagaan diri, kosmetik dan perindustrian yang pada masa ini menghadapi pengambilan yang lebih perlahan disebabkan lebihan stok semasa pandemik serta prospek ekonomi yang lebih perlahan.

 

Akibatnya, harga minyak PK baru-baru ini telah didagangkan lebih kurang setanding dengan harga MSM dan bukannya pada premium 20%-30% biasa.

 

"Hasil jualan PK yang digunakan untuk menurunkan kos pengeluaran MSM telah menyusut. 

 

"Inventori PK dan PKO akhirnya akan diselaraskan tetapi ini lebih berkemungkinan berlaku pada 2024," katanya.

 

Firma penyelidikan kekal 'neutral' terhadap sektor itu kerana ketiadaan pemangkin baharu.

 

"Sektor ini sangat defensif kerana minyak sawit adalah penting dalam rantaian makanan hari ini. Pilihan utama sektor kami ialah KLK (outperform; TP: RM24.50) dan PPB (ouperform; TP: RM19.30) dalam sektor tersebut. - DagangNews.com