KUALA LUMPUR 27 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Al-Salam Real Estate Investment Trust (REIT) sehingga 37% selepas mengambil kira sumbangan yang lemah daripada sewa Komtar JBCC.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan sewa yang ketara dijangka hanya bermula dari FY25 dan seterusnya.
Katanya, dengan lebih banyak penyewaan disasarkan untuk ditandatangani pada suku keempat tahun ini, penghunian Komtar JBCC akan meningkat kepada 83%.
"Al-Salam REIT memperuntukkan RM27 juta untuk dua tahun akan datang bagi menaik taraf Komtar JBCC, dengan kerja-kerja akan dimulakan padasuku keempat tahun ini.
"Jambatan pejalanan kaki bagi menghubungkan bangunan itu ke Stesen Rapid Transit System (RTS) Link Bukit Chagar akan siap pada 2027 dan dijangka menambah baik prospek pusat beli-belah itu.
"Ia juga merancang melakukan beberapa kitar semula aset bagi melupuskan beberapa aset sedia ada dan memperoleh aset perindustrian yang memberi hasil yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Maybank IB berkata, untung bersih teras bagi 3QFY23 menyusut 52% kepada RM1.9 juta menjadikan pendapatan teras 9MFY23 susut kepada RM6.9 juta tetapi hasil pada suku itu meningkat 9% hasil sumbangan lebih baik daripada segmen runcit, kadar penghunian yang lebih tinggi di Komtar JBCC, tempat letak kereta dan pendapatan promosi yang lebih tinggi dan segmen makanan serta minuman.
Katanya, Komtar JBCC mencatatkan peningkatan penghunian dari tahun ke tahun kepada 64%.
"Bagaimanapun, pendapatan mereka terkesan akibat kos kewangan yang lebih tinggi disebabkan peningkatan dalam OPR (iaitu 100% daripada pinjaman pada kadar terapung).
"Begitu juga, pendapatan dari suku tahun ke suku tahun turut terjejas oleh kos kewangan yang lebih tinggi selepas pembiayaan semula kepada Program Sukuk Ijarah selesai pada 24 Ogos 2023.
"Purata kos pembiayaan adalah pada 5.24% pada 3QFY23," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 45 sen sesaham. - DagangNews.com