Pendapatan Sime Darby Plantation terus berkembang, disokong kestabilan harga MSM | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Sime Darby Plantation terus berkembang, disokong kestabilan harga MSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - MIDF Research menjangkakan pendapatan kumpulan Sime Darby Plantation Berhad (SDPL) akan terus berkembang dengan baik hasil sokongan harga minyak sawit mentah (MSM) yang stabil di pasaran walaupun terpalit dengan dakwaaan penggunaan buruh paksa oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (USCBP).

 

Firma penyelidikan itu juga percaya penghasilan tandan buah segar (FFB) juga akan terus maju dengan kehadiran pekerja asing yang dijangka mula bekerja di ladang-ladang SDPL pada penguhujung suku pertama 2022 (1QFY22).

 

"Kami melihat pelantikan jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan penggunaan buruh paksa adalah sesuatu yang positif kerana laporan audit itu akan membantu membatalkan Pengeluaran Perintah Sekatan (WRO) yang dikenakan USCBP selain membersihkan nama mereka.

 

"Ketiadaan sekatan perjalanan antara negeri juga akan mempercepatkan proses penilaian itu.

 

"Kami juga percaya SDPL akan kekal berdaya tahan dalam menyediakan perancangan masa hadapan selepas laporan berkenaan siap sepenuhnya," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, USCBP  mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk lain yang dikeluarkan SDPL dan anak syarikatnya kerana mempunyai 11 tanda buruh paksa yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa.

 

sawit

 

USCBP pada masa sama memaklumkan pegawainya di semua pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh Sime Darby dan entiti berkaitan di Malaysia. 

 

Berdasarkan kepada pengumuman Bursa Malaysia pada 28 Januari 2022, kesemua sahamnya digantung sementara bermula pada pukul 12.01 tengah hari hari sama dan dibenarkan untuk dagangan semula bermula 9 pagi 31 Januari 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada sebarang pelarasan dibuat terhadap jangkaan pendapatan SDPL iaitu RM1.38 bilion pada FY22 dan RM1.18 bilion pada ketika ini.

 

Selepas mengambil kira semua faktor berkaitan, mereka mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham SDPL dengan nilai harga jangkaan tidak berubah iaitu RM4.42 sesaham dan dijangka memberikan pulangan sekitar +17.47%. - DagangNews.com