Pendapatan Sunway REIT bagi 1QFY23 meningkat 19% kepada RM182.8 juta didorong hartanah runcit | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Sunway REIT bagi 1QFY23 meningkat 19% kepada RM182.8 juta didorong hartanah runcit

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei -  Pendapatan Sunway REIT pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (1QFY23) telah meningkat 19% tahun ke tahun (YoY) kepada RM182.8 juta daripada RM154 juta.

 

Menurut amanah pelaburan hartanah, peningkatan ini didorong oleh prestasi kukuh daripada segmen runcit dan prestasi berdaya tahan merentas semua segmen.

 

Di samping itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) menyaksikan peningkatan sebanyak 16% YoY kepada RM138.3 juta pada 1QFY23 berbanding RM118.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

Sunway REIT berkata, segmen runcit menyumbang RM126.3 juta dan NPI sebanyak RM90 juta pada 1QFY23, mewakili peningkatan sebanyak 28% YoY, di mana sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan sihat hartanah runcit, ditambah dengan peningkatan jumlah jualan runcit dan jualan runcit yang menggalakkan semasa tempoh membeli-belah untuk perayaan.

 

Prestasi itu disokong lagi oleh momentum pertumbuhan kukuh dari Sunway Pyramid Mall dan peningkatan prestasi perniagaan dari Sunway Carnival Mall berikutan pembukaan bangunan baharu pada Jun 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus Sunway REIT, Datuk Jeffrey Ng berkata syarikat tersebut telah mencapai prestasi kewangan yang kukuh untuk 1QFY23.

 

 

Datuk Jeffrey Ng
Datuk Jeffrey Ng

 

 

Selain itu, beliau berkata segmen runcit mengekalkan pergerakan runcit yang kukuh dan momentum jualan runcit didorong oleh perbelanjaan perayaan.

 

"Memandangkan masalah ekonomi dan kos faedah semakin meningkat, kami optimistik dengan berhati-hati mengenai prospek untuk 2023 di samping memantau dengan teliti keadaan pasaran yang berkembang serta kekal cekap bertindak balas terhadap kemungkinan dan peluang yang muncul,” tambah beliau mengulas mengenai prospek Sunway REIT.

 

Menurut Jeffrey, syarikat itu tetap teguh dalam mengenal pasti dan mengejar peluang berpotensi yang selaras dengan nilai dan objektif strategiknya untuk mencapai sasaran TRANSCEND 2027.

 

“Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memberikan nilai kepada pemegang unit, kami telah mengumumkan cadangan pengambilalihan enam pasar raya besar yang dijangka siap menjelang suku keempat 2023,” katanya merujuk kepada pengumuman pembelian enam pasar raya Giant pada 16 Mac 2023. -DagangNews.com