Pendapatan Takaful Malaysia meningkat 27% kepada RM639.5 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Takaful Malaysia meningkat 27% kepada RM639.5 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad merekodkan peningkatan pendapatan takaful sebanyak 27% kepada RM639.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM501.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan selepas zakat dan cukai Takaful Malaysia bagi tempoh dalam tinjauan meningkat sebanyak 25% kepada RM91.1 juta daripada RM72.9 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
  

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi cemerlang kumpulan itu pada suku ketiga berkembang pada arah aliran positif dan terus mengukuhkan pertumbuhan perniagaan.

 

Beliau berkata, peningkatan pendapatan takaful kumpulan disokong oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi diperolehi untuk perkhidmatan takaful yang disediakan bagi perniagaan takaful keluarga dan takaful am. 

 

"Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM130.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, lebih tinggi sebanyak 10% berbanding RM118.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap. 

 

takaful malaysia
Nor Azman Zainal

 

“Dana takaful keluarga kami mencatatkan pendapatan takaful sebanyak RM523.5 juta untuk suku ketiga dalam tinjauan, meningkat sebanyak 17% berbanding RM448.5 juta pada tempoh sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi diperoleh untuk perkhidmatan takaful yang disediakan. 

 

"Dana takaful am kami mencatatkan peningkatan 27% dalam pendapatan takaful untuk merekodkan RM332.7 juta bagi suku yang dikaji berbanding RM262.3 juta yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan takaful yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh pendapatan caruman yang lebih tinggi daripada kelas perniagaan kebakaran dan motor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Nor Azman berkata, pihaknya bekerjasama dengan 16 bank, sekali gus membuktikan kejayaan dalam memberikan nilai perkongsian untuk mengembangkan perniagaan bersama selain bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bank bagi menembusi segmen pasaran sedia ada dan meneroka segmen pasaran baharu untuk kemampanan dan pengembangan perniagaan. 

 

Katanya, dengan pelan pengembangan strategik rakan kongsi bank dan komitmen untuk mengembangkan pasaran runcit, kumpulan itu melihat potensi perniagaan yang lebih besar dalam penasihat perniagaan takaful keluarga. 

 

Beliau berkata, cabang takaful am kumpulan itu akan terus menjadi pemacu pertumbuhan dan kumpulan itu akan mengukuhkan tenaga agensi korporat dengan mengekalkan serta mendapatkan ejen korporat berpotensi tinggi, meningkatkan pelanggan motor dalam talian kami dan menembusi segmen lain bagi mengembangkan perniagaan takaful am.

 

"Selain itu kami juga akan mengimbangi margin taja jamin dan pertumbuhan perniagaan untuk meningkatkan bahagian pasaran.

 

"Bagi jangka masa panjang, hala tuju strategik kami adalah untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memastikan perniagaan mampan masa depan bagi melengkapkan perniagaan teras sedia ada. 

 

"Kami akan terus meraih pertumbuhan positif dan seterusnya mendorong Takaful Malaysia mengekalkan kedudukan kukuh dalam perniagaan takaful keluarga, mengembangkan perniagaan takaful am dan merebut peluang pasaran untuk mengembangkan perniagaan kami pada tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com