Pendapatan TSA Group diunjur berkembang pada 2024 didorong permintaan lebih kukuh, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan TSA Group diunjur berkembang pada 2024 didorong permintaan lebih kukuh, kata RHB Investment

TSA Group terlibat mengeluarkan produk perkakasan industri, pembuatan paip keluli tahan karat dan produk logam lain.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pendapatan teras TSA Group Bhd diunjur mencatat penurunan sebanyak 44 peratus pada tahun kewangan 2023 (FY2023) sebelum berkembang kembali kepada 51 peratus pada tahun ini.

 

Menurut RHB Investment, pendapatan teras syarikat pengeluar produk perkakasan industri, paip keluli dan produk logam itu juga dijangka berkembang 23 peratus tahun ke tahun (YoY) bagi tahun kewangan 2025.

 

Katanya, ini susulan permintaan lebih kukuh untuk produk keluli di samping purata harga jualan (ASP) lebih stabil.

 

"Begitu juga margin untung bersih dijangka bertambah sebanyak 10 peratus pada FY2025 daripada 6.4 peratus pada FY2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 55 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 Februari 2024, TSA Group Bhd mahu menjana dana sebanyak RM42.53 juta.

 

Kata firma itu, dana tersebut akan digunakan syarikat untuk menyelesaikan pinjaman bank, memperkukuh modal kerja dan melabur untuk pembinaan kilang pembuatan di Semenyih. 

 

Sementara itu, RHB Investment mengunjurkan TSA Group Bhd mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih sebanyak 1.2 peratus untuk tempoh tiga tahun.

 

Bagaimanapun, dalam tempoh jangka panjang, CAGR 5 tahun boleh menjadi kira-kira 10 peratus, selepas operasi kilang di Semenyih bermula selain dijangkakan penjimatan kos dengan TSA mempunyai lebih kawalan ke atas kualiti dan ketersediaan gegelung keluli tahan karat.

 

Menurut RHB Investment, pasaran TSA Group Berhad melibatkan pelbagai negara dengan produk syarikat itu juga mendapat permintaan pelanggan antaranya dari Singapura, Thailand, Bangladesh, China dan India.

 

TSA juga megeluarkan pelbagai produk logam tanpa terhad kepada keluli seperti tembaga, aluminimum dan besi karbon merangkumi plat, bar, gegelung dan paip.

 

"Syarikat tersebut telah mengeluarkan paip keluli tahan karat sejak 15 tahun lalu," kata firma itu.

 

Kilang pembuatan terbaharu di Semenyih akan mengeluarkan produk keluli tahan karat baru selain membantu memperkemaskan penyimpanan stok syarikat itu.- DagangNews.com