Pendapatan Unisem dijangka lebih mengukuh menjelang 2H20 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Unisem dijangka lebih mengukuh menjelang 2H20

Unisem (M) Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Prestasi pendapatan syarikat Unisem (M) Berhad (Unisem) dijangka lebih mengukuh menjelang separuh kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada pegembangan margin didorong oleh permintaan yang lebih tinggi serta kawalan kos yang lebih baik.

"Kami dapati bahawa Unisem mencatatkan permintaan yang lebih baik susulan kadar penggunaan kumpulan melambung sekitar 85% pada Julai hingga Ogos.

"Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding 80% yang dicatatkan pada Mei hingga Jun," jelas CGS-CIMB Research.

Terdahulu, syarikat tersebut juga telah berjaya mencatatkan pertumbuhan penjualan AS$ 5% hingga 10% pada suku ketiga 2020 berbanding suku sebelumnya.

Peningkatan jumlah permintaan yang lebih baik itu juga didorong oleh penjualan positif daripada tiga pelanggan utamanya yang terlibat dalam penjualan frekuensi radio (RF), pusat data dan pengurusan tenaga.

Tiga pelanggannya itu mambantu meningkatkan penjualan kira-kira 18% berbanding suku sebelumnya sekali gus menyumbang kepada purata pertumbuhan bagi suku ketiga 2020.

Unisem juga membuat pelaburan modal berjumlah RM250 juta pada tahun kewangan 2020 bagi tujuan pengembangan Fasa 2 syarikatnya di Chengdu yang difokuskan kepada pakej pengurusan tenaga dan pusat data bagi menyokong industri e-dagang.

Manakala pada separuh pertama 2020 pula, Unisem turut membuat pelaburan modal sebanyak RM167 juta.

Unisem juga meningkatkan jumlah pengeluaran sensor mikrofon yang dikeluarkan dengan kapasiti penuh pada suku keempat 2020.

CGS-CIMB Research turut meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat tersebut sebanyak 25% hingga 33% selain mengekalkan saranan 'tambah' sasaran sesaham (TP) kepada RM4.25. - DagangNews.com