KUALA LUMPUR 16 Nov - Seramai 249 usahawan mikro B40 mencatat peningkatan pendapatan secara purata sebanyak 31% daripada RM1.99 juta kepada RM2.6 juta dalam tempoh sebulan selepas menyertai Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti pada tahun ini.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, di samping itu, para peserta berkenaan juga berjaya meningkatkan jumlah simpanan purata sebanyak 29%.
Katanya, ia juga sekali gus mencipta sejumlah 416 peluang pekerjaan melalui program iTEKAD, selain kesemua peserta mengadaptasi gerbang pembayaran tanpa tunai dan menggunakan media sosial untuk tujuan promosi dan komunikasi dengan pelanggan.
"Saya juga ingin mengambil contoh dua peserta terbaik program ini iaitu Rahmat Sani dari Rasya Legacy Enterprise. Rahmat berjaya mencapai peningkatan pendapatan bulanan sebanyak 73% sejak menyertai program ini.
"Begitu juga dengan pemilik BEBO Enterprise, Helma Hashim yang berjaya meningkatkan pendapatan bulanan sebanyak 67% berbanding pendapatan sebelum program.
"Saya berharap agar pencapaian para peserta ini akan memberi inspirasi dan galakan kepada para peserta lain untuk sama-sama mencapai kejayaan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Fasilitasi Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; timbalannya, Saraswathy Kandasami dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim.
Terdahulu, SME Bank memperuntukkan dana fasilitasi berjumlah RM1.24 juta kepada 249 peserta menerusi program tersebut pada tahun ini.
Pada majlis itu, seramai 10 peserta terbaik Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti 2023 diraikan susulan pencapaian dan perkembangan perniagaan yang memberangsangkan sejak menyertai program tersebut.
Sementara itu, Ewon pula berkata, SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti memberi impak besar untuk mengukuhkan dan membangunkan perniagaan kumpulan sasar, bukan sahaja semasa pandemik, tetapi juga untuk bergerak ke hadapan.
"Inisiatif seperti ini juga selaras dengan misi kementerian untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan," katanya.
Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti merupakan program tanggungjawab korporat yang dirangka secara strategik untuk merapatkan jurang peluang bagi mewujudkan impak ekonomi yang mampan dalam kalangan usahawan B40.
Program itu menawarkan kemahiran, alatan dan sokongan yang diperlukan untuk para peserta menubuhkan dan mengekalkan perniagaan mereka dengan jayanya. - DagangNews.com