Pendapatan YTL Power dijangka kembali pulih tetapi perlahan | DagangNews Skip to main content

Pendapatan YTL Power dijangka kembali pulih tetapi perlahan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Firma penyelidikan menyemak semula unjuran pendapatan YTL Power International Bhd. ekoran prestasi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang kurang memberangsangkan. 

 

Bagi tempoh berkenaan, YTL Power International Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM143.07 juta 
berbanding keuntungan bersih sebanyak RM67.64 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Perolehan naik kepada RM10.78 bilion berbanding sebelum ini, RM10.64 bilion.

 

Malah, kerugian bersih pada suku keempat tahun kewangan 2021 juga meningkat kepada RM486.7 juta daripada RM140.78 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas walaupun perolehan naik kepada RM3.03 bilion pada suku tahun tersebut daripada RM2.29 bilion sebelum ini.

 

Walaupun YTL Power merekodkan pertumbuhan pendapatan teras 75% tahun ke tahun, tetapi ia adalah di bawah unjuran firma-firma penyelidikan dan 71% bagi anggaran konsensus Bloomberg ekoran sumbangan lebih rendah menerusi segmen jana kuasa tenaga, Wessex Water di United Kingdom (UK) dan pelaburan.

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezrey mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 6% kepada RM435 juta ekoran prestasi kewangan YTL Power bagi tempoh itu yang berada di bawah unjurannya sebelum itu.

 

"Kami juga memulakan unjuran bagi tahun kewangan 2023 berjumlah RM495 juta, meningkat 14% tahun ke tahun dipacu loji tenaga di Jordan berkapasiti 554MW yang dijangka memulakan tarikh operasi komercial (COD) pada separuh kedua ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Meskipun menyemak turun unjuran YTL Power, tetapi MIDF Research masih mengekalkan saranan 'beli" dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada 81 sen. 

 

Selain optimis terhadap operasi loji di Jordan, firma itu membuat penilaian tersebut berdasarkan kepada pemulihan sektor tenaga di Singapura apabila ekonomi dibuka secara berperingkat, pengurangan kapasiti dan margin rizab yang lebih rendah beberapa tahun akan datang.

 

"YTL Power juga difahamkan sedang meninjau untuk menyertai tender Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura bagi kapasiti 100 MW membabitkan bekalan tenaga elektrik merentasi Malaysia ke Singapura, yang mampu memanfaatkan kepakaran Seraya dan rangkaian sedia ada di Singapura," tambahnya. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng menjangkakan pendapatan YTL Power kembali meningkat pada tahun kewangan 2022 hingga 2024 walaupun pada kadar yang lebih perlahan. 

 

Katanya, ini akan disokong oleh prestasi pelbagai utiliti dan kerugian yang lebih rendah bagi segmen telekomunikasi.

 

"Bagi operasi Wessex Water pula, ia dijangka menyaksikan pendapatan mendatar disebabkan semakan kadar cukai baru-baru ini. 

 

"Kami menjangkakan sumbangan pendapatan menerusi cadangan pengambilalihan Tuaspring, yang sedang menunggu keputusannya, adalah tidak signifikan dalam jangka pendek memandangkan keadaan pasaran masih mencabar di Singapura," katanya.

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menyemak semula unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2022 hingga 2023 sebanyak 1 hingga 2% ekoran prestasi lemaj dari Wessex Water.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran disemak semula kepada 82 sen. 

 

Setakat 12.17 pagi, saham YTL Power diniagakan tidak berubah pada 71.5 sen dengan 1.56 juta saham diniagakan. - DagangNews.com