Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Pendaratan ikan sepanjang tahun 2020 merosot 5% berbanding tahun 2019 dengan jumlah pendaratan sebanyak 1.385 juta t.m.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berkata, penurunan tersebut berpunca daripada kehadiran wabak COVID-19 yang menyebabkan penurunan jumlah vesel beroperasi ke laut.
"Penurunan jumlah operasi vesel laut dalam ini telah mengakibatkan pengurangan sebanyak 50,683 tan metrik ikan seluruh Malaysia iaitu merosot sebanyak 8% berbanding tahun 2019.
"Manakala bagi negeri Kelantan pendaratan ikan merosot sebanyak 24%, daripada 56,790 tan metrik pada tahun 2019 kepada 43,070 tan metrik pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut juga adalah sebagai maklum balas kepada laporan media berkaitan “Industri Perikanan Lumpuh” yang diterbitkan baru-baru ini.
Jelas DOF, kerajaan telah membantu industri dengan menyenaraikan sektor perikanan serta industri berkaitan di sepanjang rantaian bekalan makanan sebagai perkhidmatan perlu untuk memastikan bekalan ikan adalah terjamin.
Sehubungan itu, sektor pertanian termasuk perikanan adalah antara sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing dengan mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan oleh agensi kawal selia.
Jelas DOF lagi, semua pekerja asing wajib memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mana perkara ini telah dimaklumkan seawal tahun 2015 lagi bagi pihak industri membuat persediaan sewajarnya.
"Bagi mengawal wabak pandemik ini, kemasukan pekerja asing perlu mematuhi SOP yang ketat termasuk kos perjalanan dan kuarantin yang perlu ditanggung oleh pengusaha sendiri dengan anggaran RM6,000 setiap pekerja.
"Sehingga kini, seramai 1,048 kru asing yang telah diluluskan PLKS oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia," tambah DOF.
Mengulas berkaitan perbandingan harga ikan, DOF memberitahu, perbandingan harga ikan untuk minggu kedua Februari 2021 berbanding tempoh sama 2020 (sebelum kesan wabak COVID-19) bagi 20 spesies ikan terpilih telah meningkat sebanyak 10.1%, manakala harga runcit telah meningkat
sebanyak 6.4%.
"Sebagai contoh, bagi tempoh yang sama, harga bagi spesis Kembung meningkat 5.6% (dari RM14.05/kg kepada RM14.83/kg), Selar meningkat 7.1% (dari RM13.74 kepada RM14.72/kg), Aya Kurik menurun sebanyak 4.2% (dari RM10.85/kg kepada RM10.39/kg) dan Pelaling menurun 12.9% (dari RM12.12/kg kepada RM10.56/kg).
"DOF berharap segala usaha pemodenan vesel terutama peningkatan ruang penginapan yang lebih selesa dengan kemudahan komunikasi digital dapat menarik minat rakyat tempatan menceburi bidang perikanan," jelas DOF lagi. - DagangNews.com