Pendigitalan bawa Christy Ng tembusi pasaran antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Pendigitalan bawa Christy Ng tembusi pasaran antarabangsa

 

Oleh Malaysia Digital Economy Corporation
editor@dagangnews.com

 

Label kasut tempatan, Christy Ng kini dikenali sebagai jenama antarabangsa.

 

Namun demikian, tidak ramai yang tahu bahawa pemiliknya, Christina Ng sebenarnya mula menjual kasut rekaan sendiri di pasar lambak.

 

Kini, wanita itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Christy Ng Sdn. Bhd. telah berjaya mencapai impian menembusi pasaran antarabangsa menerusi pendigitalan operasi di samping turut memasuki platform e-dagang.

 

Permulaan Christina dalam dunia perniagaan boleh dikatakan berlaku secara tidak sengaja dan serba sederhana.

 

Faktor kesempitan hidup keluarga membuatkannya tekad melakukan sesuatu untuk membantu dengan menjual bunga jerami buatan ibunya di stesen LRT Kelana Jaya pada usia sembilan tahun.

 

Christina meneruskan langkah dengan menjual pula ais krim ketika berumur 15 tahun untuk mendapatkan wang tambahan.

 

Hari ini, Christina boleh tersenyum lebar kerana produknya telah menjadi antara jenama yang paling diminati di negara ini.

 

Beliau yang juga seorang pereka menghasilkan kasut unik dan menggunakan Facebook sebagai medium jualan dalam usaha mengejar impian menjadi usahawan berjaya sejak kecil.

 

Langkah diteruskan dengan membuka kedai dan operasi perniagaan semakin berkembang maju.

 

Hari ini syarikatnya menawarkan pelbagai barangan khusus untuk wanita dengan produk utama ialah kasut dan beg di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang.

 

Jenama ini juga melayani pelanggan menerusi laman web dan platform e-dagang yang berjaya menarik pembeli dari lebih 70 negara.

 

Namun seperti kebanyakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) lain, Christy Ng turut terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Beliau kemudian memohon Geran Automasi Pintar (SAG) yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh kerajaan dan berjaya dipilih sebagai salah satu penerima.

 

SAG merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu PKS dan syarikat pertengahan kategori perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan serta meringankan beban kewangan akibat wabak berkenaan.

 

Inisiatif ini dilaksanakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan memberi peluang kepada perniagaan yang selama ini beroperasi secara tradisional serta tidak menggunakan pendekatan teknologi untuk beralih ke arah pendigitalan dan seterusnya menjadikan aspek itu sebagai kaedah baharu dalam operasi masing -masing.

 

Perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa menuntut operasi dalam talian Christy Ng supaya sentiasa cekap.

 

Ujarnya, pengumuman dana Penjaan oleh kerajaan merupakan tindakan tepat pada masanya kerana membantu untuk menyokong pelbagai perniagaan berinovasi, automasi dan seterusnya ‘memasuki’ ekonomi digital yang semakin berkembang apabila berlaku peningkatan tabiat membeli-belah secara dalam talian oleh masyarakat.

 

"Sokongan yang diberikan kerajaan sangat diperlukan oleh perniagaan. Sebelum beralih ke platform baharu, kami menguruskan pesanan dalam dan luar talian menggunakan sistem yang berasingan,” kata Christina.

 

"Oleh itu, sebahagian besar masa dihabiskan untuk menguruskan pesanan pelanggan secara manual. Melalui inisiatif SAG, kami berjaya beralih ke sistem yang lebih bersepadu sekaligus membantu mengurangkan waktu bekerja apabila berlaku peningkatan kecekapan dalam sistem pengurusan dan pemprosesan pesanan. Oleh itu, syarikat berupaya memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan,”katanya.

 

Selain Christy Ng, sebanyak 65 PKS dan usahawan mikro lain kategori sama turut menerima geran padanan SAG.

 

Berikutan penularan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, pemberian geran ini boleh meringankan beban perniagaan sambil menawarkan bantuan kewangan tanpa faedah sehingga PKS dapat membangunkan kemampuan digital mereka.

 

"PKS adalah tulang belakang ekonomi kita. Ekonomi Malaysia terdiri daripada hampir 99% PKS yang menyumbang sebanyak 38.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Saya berbesar hari apabila mendapati Christy Ng dan PKS lain menerima manfaat daripada geran padanan ini yang membolehkan mereka menyumbang kepada ekonomi negara.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

"Kami berharap supaya dapat terus menyokong syarikat-syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka dengan memberi bantuan seperti platfrom dan bantuan kewangan yang diperlukan untuk membantu proses automasi dan pengembangan perniagaan mereka,”kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff pula berkata, agensi ini berkongsi visi untuk memimpin ekonomi digital dan perniagaan di Malaysia.

 

“Di MDEC, inisiatif yang dilaksanakan fokus kepada membolehkan perniagaan melaksanakan pendigitalan dengan membangunkan kemampuan digital. Ini merupakan sebahagian daripada tiga teras strategik MDEC iaitu pekerjaan berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital.

 

Rais Hussin
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

"Bagi mencapai visi ini termasuk mengutamakan rakyat, MDEC terus menjadi landasan untuk rakyat Malaysia berkembang maju pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan seterusnya menyokong usaha merealisasikan visi Malaysia 5.0 yang membawa kemakmuran kepada semua golongan rakyat,”katanya.

 

MDEC menjangkakan sektor perkhidmatan akan terus menyumbang kepada KDNK negara ketika Malaysia bergerak ke arah mencapai visi mengutamakan digital.

 

MDEC turut mengambil langkah- angkah yang diperlukan untuk menyokong PKS dan usahawan mikro bergerak ke arah digitalisasi dan terus berdaya saing di pasaran. - DagangNews.com