Penerokaan bidang tenaga boleh diperbaharui positif buat Taliworks | DagangNews Skip to main content

Penerokaan bidang tenaga boleh diperbaharui positif buat Taliworks

Taliworks Corporation Berhad (Taliworks)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Cadangan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat perkhidmatan dan rawatan air, Taliworks Corporation Berhad (Taliworks) untuk meneroka bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) adalah satu keputusan yang positif untuk tempoh jangka panjang.

 

CGS-CIMB Research berkata, perolehan daripada bidang tersebut mampu menggantikan kehilangan pendapatan susulan tamatnya operasi Taliworks Langkawi.

 

"Secara keseluruhannya, ia positif dan menjelaskan bahawa kilang solar yang disasarkan menggabungkan kapasiti 19MW adalah antara beberapa projek solar generasi pertama yang mendapat faedah lebih tinggi daripada feed-in tariff (FIT) setelah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui dilaksanakan pada tahun 2012.

 

"Cadangan itu juga dapat menggantikan kehilangan pendapatan daripada berakhirnya Taliworks Langkawi pada Oktober," jelas CGS-CIMB Research.

 

Gabungan dan pengambilalihan itu juga dilihat mampu memperoleh kadar FIT yang lebih tinggi sebanyak enam hingga tujuh kali ganda.

 

Jumlah itu adalah lebih tinggi daripada kadar tender FIT purata 17.7 sen/kWh yang berlaku untuk skala besar Solar 3 (LSS 3) dan 16.6 sen hingga 18 sen/kWh untuk LSS 4.

 

Perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) daripada ketiga-tiga syarikat projek solar (Fortune 11, Corporate Season, Silverstar Pavilion) yang akan diambil alih bakal beroperasi pada kadar asas FIT iaitu RM1.14/kWh.

 

Dalam aspek penjanaan pendapatan pula, CGS-CIMB Research memberitahu, penggabungan usaha solar berkenaan mampu menjana pendapatan sebanyak 6% hingga 8% untuk tahun kewangan 2021.

 

"Kami terus melihat M&A RE dengan penilaian positif untuk jangka panjang sebagaimana aliran tunai yang dihasilkan melalui pemerolehan RE sekali gus menyokong hasil dividen 6.6 sen p.a untuk tahun kewangan 2020-2022.

 

"Kami tidak merubah jangkaan perolahan sesaham (EPS) tahun kewangan 2020-2022 sementara menunggu penyelesaian perjanjian.

 

"Kami mengulangi saranan 'tambah' saham Taliworks dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM0.87," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com