Pengagihan Bantuan Wang Ihsan dijangka selesai sebelum hujung minggu - PM | DagangNews Skip to main content

Pengagihan Bantuan Wang Ihsan dijangka selesai sebelum hujung minggu - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa hari ini.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Pemberian Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas dengan banjir di seluruh negara dijangka selesai diagihkan sebelum hujung minggu ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini lebih 70% ketua isi rumah yang terkesan dengan bencana itu telah menerima bantuan berkenaan.

 

Beliau berkata, beliau tidak hanya memberi tumpuan terhadap pengumuman semata-mata malah menekankan pelaksanaan yang cepat agar rakyat tidak menunggu lama untuk mendapat bantuan.

 

"Pelbagai insentif dan bantuan sudah diumumkan tetapi tidak hanya dengan pengumuman, paling penting pelaksanaannya dan saya berpuas hari dengan penyampaian Bantuan Wang Ihsan ini.

 

"Dah lebih 70% mangsa banjir dah terima dan dijangka sehingga sebelum akhir minggu ini, seluruh Malaysia selesai 100% tapi banyak lagi saya umumkan, iaitu kita nak supaya dipercepatkan.

 

"Saya tak nak umum enam bulan, tujuh bulan tak selesai rakyat menunggu. Jadi saya tak mahu rakyat menunggu lama, mereka tengah susah, kita selesaikan kesusahan mereka. Jadi biarlah kita fokus kepada isu rakyat dulu sebelum isu-isu lain," katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan kepada 55 ketua isi rumah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa hari ini, lapor Bernama.

 

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Kamel Mohamad.

 

pmsss

 

Ismail Sabri berkata, pemberian Bantuan Wang Ihsan kini dipermudah dan diperluas kepada semua mangsa yang terjejas dengan bencana itu apabila rakyat yang terkesan tidak perlu mengisi terlalu banyak borang dan ia turut diberikan kepada mereka yang tidak berpindah ke PPS.

 

"Macam di sini (PPS SK Gangsa), saya difahamkan mereka (mangsa) tak perlu isi banyak borang-borang pun kerana nama mereka di pusat pemindahan tu dah ada, jadi gunakan nama tersebut untuk kita bayar (Bantuan Wang Ihsan). 

 

pm

 

"Ini terus kita bayar supaya memudahkan mangsa untuk mengurangkan bebanan mereka. Yang lain-lain itu mangsa yang tidak berpindah ke PPS, yang berpindah ke rumah saudara mara, kawan-kawan dan sebagainya mereka perlu melaporkan kepada pusat bencana daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, mangsa banjir perlu segera membuat laporan kepada pegawai di pejabat daerah dan beliau difahamkan ada pejabat daerah yang melaksanakan pendaftaran mangsa banjir secara dalam talian dan diharap bantuan dapat segera disalurkan.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau meluluskan sejumlah RM8 juta peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir (RTB) di Melaka dan projek berkenaan akan dilaksanakan dengan segera bagi mengurangkan kesan banjir kepada penduduk jika ia berlaku lagi dalam masa terdekat.

 

"Saya dah lulus RM8 juta untuk (projek RTB) jangka pendek. Kalau boleh air dah surut ini kita boleh mulakan projek dengan segera," katanya.

 

Terdahulu Perdana Menteri mendengar taklimat mengenai situasi banjir di negeri Melaka di kediaman rasmi Ketua Menteri. - DagangNews.com