Pengamal media perlu mainkan peranan sampaikan maklumat tepat dalam menangkis berita palsu, titah Tuanku Syed Faizuddin | DagangNews Skip to main content

Pengamal media perlu mainkan peranan sampaikan maklumat tepat dalam menangkis berita palsu, titah Tuanku Syed Faizuddin

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merakam gambar kenangan bersama para pemenang Anugerah Kewartawanan Perlis di Kangar pada 3 Disember 2023. - Gambar SUK Perlis
oleh JOHARDY IBRAHIM

KANGAR 4 Dis - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pengamal media perlu memainkan peranan masing-masing bagi menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat biarpun terdapat pelbagai platform media baharu lain yang semakin berkembang dengan pesat pada masa ini

 

Baginda bertitah, maklumat disampaikan pengamal media menerusi laporan pemberitaan masih menjadi bahan rujukan masyarakat dalam mendapatkan maklumat tepat meskipun terdapat pelbagai platform media baharu lain yang semakin berkembang pesat ketika ini.

 

"Tugas pengamal media, baik media cetak mahupun elektronik, pada ketika ini lebih mencabar terutama bagi melaporkan fakta sebenar di samping menangkis serangan penularan berita palsu dalam kalangan masyarakat," titah baginda ketika berucap merasmikan majlis itu.


 

iktisad
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

 


Baginda bertitah pada masa sama, pengamal media juga perlu saling bekerjasama dalam menyiarkan laporan berita yang komprehensif kepada masyarakat.

 

"Saya juga yakin pengamal media khususnya di negeri ini amat memegang kepada etika kewartawanan dalam melaporkan sebarang berita yang ingin disampaikan kepada masyarakat," titah baginda.

 

Tuanku Syed Faizuddin bertitah selain itu, pengamal media turut menjadi penghubung kepada kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan dalam menyampaikan agenda dan matlamat yang ingin dilaksanakan untuk rakyat.

 

"Saya amat berharap agar semua pengamal media di negeri ini dapat menyebar luas sebarang maklumat berkaitan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

 

"Kejayaan TMPs 2024-2025 nanti bakal memberi limpahan ekonomi buat penduduk di negeri ini khususnya yang melibatkan pengusaha hotel, inap desa, kafe makanan, peniaga industri kecil dan sederhana, syarikat pengangkutan serta pelbagai lagi," titah baginda.

 

Turut hadir Presiden PWP Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar.

 

 

iktisad
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar merasmikan Malam Anugerah Kewartawanan Perlis di Kangar pada 4 Disember 2023. - Gambar SUK Perlis


 

Sebanyak 10 anugerah dipertandingkan pada malam tersebut melibatkan kategori Berita Mandarin Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Foto Terbaik, Rencana Terbaik, Berita TV Terbaik, DJ Radio Pilihan Terbaik, Pelancongan, Warisan dan Budaya Terbaik, Berita Terbaik, Laporan Khas terbaik dan Anugerah utama keseluruhan.

 

Anugerah-anugerah berkenaan ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), DagangNews.com, Yayasan Keluarga Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Bank Rakyat, Syarikat Air Perlis (SAP), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Menteri Besar.

 

Sebanyak 15 agensi media di negeri ini menyertai malam anugerah berkenaan yang bertujuan diadakan bagi menghargai keringat pengamal media di Perlis yang telah menabur bakti dan jasa dengan menyumbang berita-berita yang mempunyai nilai tinggi dan memberi impak untuk pembangunan negeri dan negara.


 

iktisad


 

parafrasa

 

parafrasa

 


Sementara itu, Syed Muhammad Azlan berkata, penghargaan tersebut sedikit sebanyak menyemarakkan lagi semangat para pengamal media untuk bekerja dengan lebih keras di masa hadapan dan memotivasikan diri untuk terus menyalurkan berita-berita yang memberi nilai tambah kepada negeri Perlis.

 

"Antara objektif penganjuran tersebut bagi menyatukan pengamal media di Perlis sekali gus mengangkat profesionalisme wartawan di negeri ini.

 

"Selain itu, bagi menghargai pengorbanan dan penat lelah pengamal media yang bertungkus lumus menghasilkan penulisan terbaik bagi manfaat semua pihak.

 

"Ia juga bertujuan merapatkan hubungan di antara pengamal media dan agensi kerajaan negeri, swasta dan pihak terlibat dalam melancarkan tugas pengamal media," ujar beliau.


 

parafrasa

 

parafrasa

 


Seramai 150 jemputan dalam kalangan pengamal media, barisan pentadbiran kerajaan, ketua-ketua jabatan, agensi penguatkuasaan dan NGO bakal memeriahkan majlis berkenaan.

 

Anugerah-anugerah berkenaan disampaikan oleh dua Exco kerajaan negeri, iaitu Izizam Ibrahim dan Wan Badariah Wan Saad serta Muhammad Azmir Azizan yang mewakil Menteri Besar. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Faizal Kamarudin.

 

Manakala kemuncak bagi anugerah utama keseluruhan disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin yang juga  menyampaikan anugerah khas jasamu dikenang.- DagangNews.com