Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pengambilalihan sepenuhnya segmen beli-belah di rumah, CJ Wow Shop oleh Media Prima Berhad (Media Prima) dijangka mampu melonjakkan perolehan sesaham (EPS) syarikat itu sebanyak 61% hingga 118% pada tahun kewangan 2021 hingga 2022.
CGS-CIMB Research positif akan langkah pengambilalihan itu memandangkan jualan CJ Wow Shop meningkat mendadak ketika pandemik COVID-19.
“Kami positif akan pengambilalihan Media Prima CJ Wow Shop daripada MP CJ ENM.
“MP CJ ENM mencatatkan keuntungan bersih RM6.3 juta pada separuh pertama 2020 (1H20) dengan perolehannya meningkat sebanyak 33.7% kepada RM152.8 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ini berbeza dengan kerugian bersih yang dicatatkan pada separuh pertama 2019 (1H19) sebanyak RM7.6 juta. Perkembangan ini mendorong kami menurunkan kerugian sesaham (LPS) Media Prima sebanyak 12% dan meningkatkan EPS pada tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 61% hingga 118%,” kata CGS-CIMB dalam laporan analisisnya.
Pada 1 September 2020, Media Prima mengumumkan pengambilalihan berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan transformasi kumpulan syarikat untuk mewujudkan jaringan prospek yang lebih kukuh dalam industri beli-belah dan e-dagang di rumah.
Baca : CJ Wow Shop kini milik penuh Media Prima
Walaupun nilai pengambilalihan 49% saham dalam MP CJ ENM tidak didedahkan, namun CGS-CIMB berpendapat jumlahnya tidak besar memandangkan urus niaga itu tidak memenuhi paras syarat pendedahan segera oleh Bursa Malaysia.
Dalam masa sama, walaupun mungkin ada yang berpendapat lonjakan e-dagang tidak akan bertahan lama apabila pembeli dapat keluar dengan bebas dan membeli-belah di kedai cara fizikal, namun CGS-CIMB berpendapat bahawa pandemik COVID-19 mencetuskan kebiasaan baharu untuk membeli-belah.
Malah, CGS-CIMB berkata, sebelum penularan COVID-19, pelbagai tinjauan mendapati sebilangan besar pengguna yang berminat untuk membeli-belah dalam talian melakukannya kerana harga yang lebih rendah dan dapat membeli mengikut keselesaan mereka .
“Kami percaya Media Prima layak mendapatkan premium (penilaian lebih tinggi) kerana syarikat itu satu-satunya media Malaysia yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dijangka mampu mencapai pertumbuhan perolehan dan keuntungan dalam jangkaan ramalan semasa,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com