Pengambilalihan ekuiti Boustead Plantations tingkatkan bank tanah KLK sehingga 189,070 hektar - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan ekuiti Boustead Plantations tingkatkan bank tanah KLK sehingga 189,070 hektar - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - MIDF Research percaya bahawa cadangan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mengambil alih pegangan ekuiti di dalam Boustead Plantations Berhad akan meningkatkan bank tanah mereka sehingga kira-kira 189,070 hektar.

 

Ia merangkumi kawasan matang baharu seluas 159,070 hektar dan belum matang seluas 30,070 hektar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia akan membantu meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (MSM) lebih 800,000 tan.

 

"Ini akan meningkatkan keuntungan kumpulan dan nilai pemegang saham pada masa hadapan.

 

"Kami percaya bahawa tawaran KLK adalah konsisten dengan strategi jangka panjangnya untuk meningkatkan minatnya dalam industri huluan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: KLK cadang ambil alih 33% pegangan dalam Boustead Plantations berharga RM1.15 bilion

 

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan minyak sawit mentah (MSM) Boustead Plantations dalam jangka panjang.

 

KLK dan Boustead Plantations terlibat dalam perniagaan perladangan kelapa sawit dan terdedah kepada risiko biasa dalam sektor perladangan kelapa sawit seperti perubahan harga MSM, perubahan permintaan global untuk minyak dan lemak yang boleh dimakan.

 

MIDF Research berkata, dengan kawasan penanaman seluas 72,207 hektar, Boustead Plantations ialah penanam tulen tempatan yang mengusahakan 42 ladang kelapa sawit dan 10 kilang di Semenanjung dan Malaysia Timur.

 

Katanya, daripada jumlah kawasan penanaman, 60,851 hektar (84.3%) terdiri daripada kawasan matang, manakala 11,356 hektar (15.7%) terdiri daripada kawasan belum matang, dengan purata wajaran profil umur kira-kira 16.4 tahun.

 

"Sejumlah 32.3% ditanam di Semenanjung; baki 53.5% dan 14.2% telah ditanam di Sabah dan Sarawak.

 

"Boustead Plantations mempunyai 10 kilang kelapa sawit dengan tiga kilang terletak di Semenanjung manakala lima di Sabah dan dua di Sarawak," katanya.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan. Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM24.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com