Pengambilalihan farmasi tingkatkan pertumbuhan hasil 7-Eleven 21-23% | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan farmasi tingkatkan pertumbuhan hasil 7-Eleven 21-23%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Langkah 7-Eleven Malaysia Holdings (7-Eleven) untuk mengambil alih 26 farmasi menerusi anak syarikatnya, Caring Pharmacy (Caring) dijangka menyumbang sebanyak 21% hingga 23% hasil pada tahun kewangan 2020 hingga 2022. 

Memandangkan langkah itu dijangka selesai pada penghujung tahun ini, CGS-CIMB Research menjangkakan hasil daripadanya bermula tahun kewangan 2021. 

“Kami telah mengambil kira sumbangan daripada kedai farmasi baharu, ramalan kami ke atas Caring dan oleh itu, kami mengurangkan perolehan sesaham (EPS) 2020 sebanyak 1.7% dan meningkatkan ramalan EPS tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 2.1% hingga 4.8%.

“Pengambilalihan farmasi itu dijangka tidak menawarkan impak terhadap 7-Eleven memandangkan jumlah yang diletakkan dalam proses itu akan dibiayai menerusi dana yang dihasilkan secara dalaman,” jelas nota kajian CGS-CIMB.  

7-Eleven yang mempunyai 75% kepentingan dalam Caring mencadangkan untuk mengambil alih 67% ekuiti dalam The Pill House Pharmacy Sdn. Bhd. yang memiliki 18 kedai farmasi ‘Georgetown Pharmacy’, 60% saham dalam Wellings Pharmacy Sdn. Bhd. (4 kedai di bawah nama ‘Wellings Pharmacy’) masing-masing berjumlah RM25.5 juta dan RM19.9 juta. 

Caring juga mengambil alih beberapa aset perniagaan termasuk tunai dan saham dagangan yang memiliki empat Georgetown Pharmacy di Pulau Pinang bernilai RM500,000.

“Kami ‘neutral’ terhadap pengambilalihan ini kerana ia menggambarkan pengembangan Caring yang tidak organik ke kawasan utara, memiliki 26 farmasi, sejajar strategi 7-Eleven untuk mempunyai sekurang-kurangnya 200 farmasi menjelang 2024.

“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan sasaran harga lebih tinggi iaitu RM1.70. Kami kekal optimis terhadap usaha 7-Eleven untuk menambah baik kecekapan operasi dan keuntungan gabungan produk jualannya bagi bisnes kedai serbaneka,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com