Pengambilalihan Island Hospital wujudkan sinergi positif kepada operasi IHH Healthcare di Pulau Pinang - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Island Hospital wujudkan sinergi positif kepada operasi IHH Healthcare di Pulau Pinang - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Cadangan pengambilalihan Island Hospital Sdn Bhd dijangka mewujudkan sinergi positif kepada operasi IHH Healthcare di Pulau Pinang.

 

RHB Investment juga meramalkan prospek positif kepada IHH memandangkan Island Hospital memiliki margin yang baik selain jangkaan pertumbuhan yang menjanjikan.

 

"Urus niaga itu melibatkan tanah kosong bersebelahan hospital yang menyediakan peluang pertumbuhan masa hadapan bagi pembinaan hospital baharu dengan kapasiti anggaran 400 katil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, IHH Healthcare menerusi Pantai Holdings Sdn Bhd bercadang mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Island Hospital menerusi pertimbangan tunai RM3.9 bilion.

 

Island Hospital merupakan hospital yang memiliki 600 katil terletak di bandar George Town yang sibuk di Pulau Pinang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IHH Healthcare ambil alih Island Hospital pada harga tunai RM3.9 bilion

 

Kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, membolehkan ia mendapat hasil positif daripada segmen pelancongan perubatan.

 

Hospital itu dilengkapi 103 klinik perundingan dan 14 dewan bedah, menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan pembedahan termasuk onkologi, obstetrik dan ginekologi, jantung dan pembedahan ENT (telinga, hidung dan tekak) antara lain-lain.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan itu akan dibiayai secara tunai yang dijana secara dalaman dan pinjaman luar yang akan ditentukan kemudian.

 

Perjanjian itu dijangka selesai menjelang penghujung 2024, menandakan kejayaan kedua IHH di Malaysia berikutan pemerolehan Timberland Medical Centre pada Ogos 2023.

 

"Kami tidak membuat perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan itu kerana campuran pembiayaan masih belum ditentukan ketika ini.

 

"Jika ia dibiayai oleh 80% pinjaman dan 20% tunai (selesai menjelang November 2024), kami menganggarkan potensi pertambahan pendapatan sebanyak 2%/9% untuk 2024/2025," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM8.00 sesaham.- DagangNews.com