Pengambilalihan Pan Orient beri kesan positif kepada Dialog untuk jangka panjang | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan Pan Orient beri kesan positif kepada Dialog untuk jangka panjang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - MIDF Research menjangkakan cadangan Dialog Group Berhad untuk mengambil alih Pan Orient Energy Corp. (POEC) akan memberi kelebihan positif kepada kumpulan itu.

 

Firma itu berkata, kelebihan itu adalah berdasarkan pengembangan dan kepelbagaian operasi huluannya selaras dengan kenaikan harga minyak mentah selain ketersediaan kemudahan darat milik POEC semasa pembelian sebagai tambahan kepada Dialog,

 

Katanya, kumpulan itu juga memiliki peluang yang jarang berlaku iaitu mengambil alih rizab minyak matang di luar Malaysia.

 

"Blok L53/48 yang terletak di pesisiran pantai Thailand memiliki mendapan fluvial-lacustrine yang sesuai untuk pelbagai minyak komersial selain blok itu juga menghasilkan hidrokarbon bagi kawasan seluas 25 kilometer persegi yang menjadikannya rizab darat terbesar di Thailand. 

 

"Kami percaya, pengambilalihan itu berpotensi untuk menjadikan segmen huluan Dialog bertambah baik bagi jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Dialog cadang ambil alih Pan Orient Energy bernilai RM170 juta

 

Terdahulu, Dialog melalui anak syarikat milik penuhnya di Singapura, Dialog Systems (Asia) Pte Ltd memeterai perjanjian bersyarat dengan Pan Orient Energy Corp bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuitinya pada harga tunai AS$38.7 juta (RM170 juta).

 

Perjanjian ditandatangani di antara syarikat Kanada milik 100 peratus Dialog Systems, Alberta Ltd dan Pan Orient Energy.

 

Pan Orient Energy akan dinyahsenarai daripada TSX Venture Exchange Kanada dan Dialog Group akan memiliki 100% kepentingan ekuiti dalam Pan Orient Petroleum Pte Ltd.

 

Firma itu berkata, langkah tersebut sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan sektor tenaga merentasi perniagaan huluan, pertengahan, hiliran dan tenaga boleh diperbaharui sekali gus meningkatkan peluang sinergi dalam kumpulan.
 

Kumpulan itu juga optimis dengan prospek masa depan POES yang menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan, selaras dengan strategi untuk menjana pendapatan berulang jangka panjang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.96 terhadap saham Dialog," katanya. - DagangNews.com