Pengambilalihan RAM Holdings kukuhkan kedudukan CTOS Digital sebagai pakar penilaian kredit | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan RAM Holdings kukuhkan kedudukan CTOS Digital sebagai pakar penilaian kredit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - CTOS Digital Berhad mengemukakan tawaran bagi mengambil alih baki saham dalam RAM Holdings Berhad yang dilihat akan meningkatkan kedudukannya sebagai pakar penilaian kredit.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Berhad berkata, RAM merupakan peneraju penarafan bon dengan 65% pegangan pasaran.

 

Firma itu berkata, CTOS akan memanfaatkan RAM untuk menembusi pasaran baharu terutama dalam terbitan bon yang memeberikan hasil tinggi selain  menyasarkan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kurang diterokai.

 

"Selepas melihat kepada rancangan perniagaan keseluruhan, kami yakin dengan rancangan pengambilalihan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sehingga kini, CTOS telah membeli 19.2% kepentingan dalam RAM pada harga RM49.6 juta, membayangkan penilaian ekuiti gabungan sebanyak RM258.2 juta.

 

Firma itu berkata, CTOS merancang untuk membuat tawaran am kepada baki pemegang saham RAM bernilai RM280-300 juta dan maklum balas awal mencadangkan bahawa CTOS mungkin meraih pegangan antara 55% hingga 60%

 

Pada masa sama, Creador berhasrat untuk melepaskan 19.9% pegangan sahamnya dalam RAM dengan diskaun 10% berbanding harga tawaran am akhir untuk mengekalkan keyakinan pelabur.

 

"Berdasarkan maklumat semasa dan andaian kos hutang 4%, kami mengira bahawa RAM akan menjadi pemerolehan akretif.

 

"Selain itu, RAM boleh mengeluarkan dividen istimewa kerana ia boleh mengewangkan hartanah pelaburan bernilai RM67 juta dan mempunyai tabungan tunai bersamaan RM131 juta.

 

"Sekiranya berjaya direalisasikan, ia akan membantu CTOS untuk mengimbangi sebahagian daripada kos pemerolehannya," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran lebih rendah RM1.70 berbanding RM1.95," katanya. - DagangNews.com