Pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor | DagangNews Skip to main content

Pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor

 

 


KUALA LUMPUR 10 Dis - Pengambilan pekerja asing akan dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan sahaja, seperti diumumkan sebelum ini.

 

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini supaya pengambilan pekerja asing ini dibuka kepada sektor pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara untuk memperhalusi prosedur standard operasi (SOP) kemasukan pekerja asing ini.

 

Katanya, ini memandangkan kemasukan pekerja asing ini akan merangkumi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan dan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19

 

"Selain itu, ia juga termasuklah dari aspek kuarantin bagi memastikan tiada kompromi dari segi keselamatan dan kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau turut memaklumkan mesyuarat tersebut bersetuju untuk membenarkannya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan sejawat dari Kementerian Kebajian Pekerja Ekspatriat dan Luar Negara Bangladesh bagi pengambilan pekerja negara itu di Malaysia. 

 

"Kemasukan pekerja warga Bangladesh ini akan dilaksanakan sejurus MOU tersebut ditandatangani dalam masa terdekat," tambahnya. 

 

Pada Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk membawa masuk seramai 32,000 warga asing untuk bekerja di sektor perladangan bagi mengisi kekosongan dalam bidang tersebut. - DagangNews.com