Pengambilan peril khas dalam insurans komprehensif kereta meningkat akibat bencana banjir | DagangNews Skip to main content

Pengambilan peril khas dalam insurans komprehensif kereta meningkat akibat bencana banjir

KUALA LUMPUR 31 Jan - Allianz General mencatatkan peningkatan sebanyak 22% daripada 68,000 pelanggan mengambil perlindungan peril khas dalam perlindungan komprehensif kereta persendirian antara 1 hingga 17 Januari 2022 sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, sebelum ini hanya 11% atau 123,000 dari 1.11 juta pelanggan memilih perlindungan peril khas itu pada tahun lalu.

 

“Banjir baru-baru ini telah membuktikan keperluan terhadap insurans terutama dalam melindungi aset-aset berharga milik persendirian selain mempunyai pelbagai pilihan untuk produk insurans yang bersesuaian.

 

"Bagaimanapun pelanggan banyak melakukan kesilapan kerana tidak mengambil perlindungan banjir (insurans kediaman), perlindungan cermin hadapan, atau peril khas iaitu perlindungan dari tanah runtuh, banjir, dan bencana alam lain.

 

"Akibat terlalu ingin berjimat, kebanyakan masyarakat terpaksa menanggung kerugian kerana kurang dilindungi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi insurans motosikal, Allianz mempunyai perlindungan peril khas iaitu Allianz Motorcycle Plus yang diberikan tanpa cas tambahan kepada pelanggan. 

 

Sean berkata, bagi perkhidmatan pasca banjir, Allianz General telah menyediakan bantuan penundaan kepada 1,590 kenderaan pelanggan yang terkesan akibat banjir sehingga 16 Januari 2022.

 

Hanya 193 kenderaan (178 kenderaan persendirian dan 15 motosikal) mempunyai perlindungan banjir yang sah sebagai sebahagian dari polisi insurans mereka.

 

“Isu terbesar kita ialah kebergantungan terhadap kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat Malaysia untuk menyediakan jaringan keselamatan ketika menghadapi bencana seperti banjir.

 

"Hakikatnya, apabila berdepan situasi tiada pampasan atau kemampuan untuk menggantikan aset yang rosak, pada ketika itulah realiti keperluan insurans akan dirasakan,” katanya. - DagangNews.com