KUALA LUMPUR 24 Jan - Rata-rata penganalisis menjangkakan segmen automotif tempatan akan mengalami pertumbuhan semula tahun ini dipacu oleh pengecualian cukai jualan (SST) dan jumlah tempahan tertunggak yang kukuh.
AmInvestment Bank berkata, perolehan sektor automotif dijangka pulih pada 2022 kerana permintaan untuk kereta baharu akan disokong oleh pengecualian SST, meningkatkan keyakinan pengguna apabila ekonomi beransur pulih, dan persekitaran kadar faedah yang akomodatif.
Walaupun jangkaan pemulihan jumlah jualan kenderaan (TIV) yang kukuh sehingga pertengahan 2022, HLIB Research masih mengekalkan penarafan 'neutral' pada sektor itu.
"Ini kerana kami menjangkakan TIV akan mula perlahan selepas tamat tempoh pengecualian SST di samping isu rantaian bekalan global yang sedang berjalan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini meramalkan pertumbuhan 17.9 % dalam TIV kepada 600,000 unit pada tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan semasa 2021.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, kenderaan penumpang dan komersial dijangka mencatatkan jualan rekod, masing-masing sebanyak 540,000 dan 60,000 unit tahun ini.
Beliau berkata, selepas pandemik, ekonomi global dilihat sedang memulih memandangkan ekonomi di seluruh dunia telah dibuka sebahagian besarnya
Sementara itu, MIDF Research dalam notanya hari ini berkata, walaupun terdapat gangguan dalam pemulihan pengeluaran 4QCY21, firma itu menjangkakan majoriti pemain akan meningkatkan pengeluaran pada tahun 2022 untuk memenuhi tempahan tertunggak yang dilanjutkan sehingga 6 bulan memandangkan kemajuan cemerlang program vaksinasi kebangsaan setakat ini.
"Kami mengulangi semula ramalan TIV 2022 kami sebanyak 570,000-580,000 unit, membayangkan pertumbuhan 12%-14%yoy.
"Ini lebih konservatif sedikit daripada sasaran MAA (+18%yoy) dan berada di hujung bawah julat TIV tahunan pra-pandemik kerana kami tetap menyedari risiko yang berpunca daripada kekurangan cip global dan kekangan rantaian bekalan," katanya. -DagangNews.com