Penganalisis ‘neutral’, saran ‘tambah’ saham UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ‘neutral’, saran ‘tambah’ saham UEM Sunrise

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham UEM Sunrise Berhad dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM0.42 berbanding RM0.38 sebelum ini.

 

MIDF menjelaskan, keputusan kewangan UEM Sunrise bagi tahun kewangan 2020 (FY20) lebih rendah daripada unjuran yang dibuat, di mana kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras sehingga RM183.5 juta. 

 

Disebabkan itu, penarafan ke atas saham UEM Sunrise dibuat berdasarkan faktor peningkatan yang terhad dan perolehan yang tidak menarik, bagi pandangan MIDF. 

 

“Kami menyemak semula unjuran perolehan UEM Sunrise bagi FY21 sebanyak -21.7% setelah mengambil kira sumbangan yang lemah daripada perniagaan usaha sama. Kami juga memperkenalkan unjuran perolehan bagi FY22. 

 

“Sementara itu, kami menyemak semula TP UEM Sunrise, margin yang lebih tinggi kepada RM0.42 daripada RM0.38 memandangkan kami menurunkan sedikit diskaun Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) kepada 80% daripada 82% berdasarkan prospek jualan baharu yang stabil,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

 

UEM Sunrise menyaksikan kerugian bersih bagi suku keempat FY20 (4Q20) meningkat kepada RM91.1 juta daripada RM28.6 juta pada suku sebelumnya ekoran sumbangan yang lemah dari perniagaan usaha sama. 

 

Ini menjadikan kerugian bersih bagi FY20 mencecah RM183.5 juta berbanding pendapatan bersih sebanyak RM257 juta bagi FY19.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng sebaliknya mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham UEM Sunrise dengan TP diturunkan kepada RM0.56 daripada RM0.59. 

 

Beliau positif terhadap UEM Sunrise kerana penilaian yang menarik dengan jangkaan pemulihan dalam pendapatan kumpulan itu bagi FY21 hingga FY23. 

 

Katanya, perolehan sesaham (EPS) untuk FY21 dan FY22 juga diturunkan sebanyak 24% hingga 33% untuk menggambarkan perubahan dalam jangka masa pembangunan projek kumpulan itu dan kos yang lebih tinggi.

 

“Prestasi jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan selain penilaian yang tidak diperlukan merupakan kunci kepada pemangkin penarafan semula. 

 

“Pasaran hartanah di Malaysia yang kian menyusut merupakan kunci kepada risiko penurunan terhadap penarafan kami,” jelas beliau dalam nota kajian berbeza. 

 

Setakat 2.28 petang, nilai saham UEM Sunrise menyusut 1 sen kepada RM0.44. - DagangNews.com